PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembaharuan sistem pembiayaan antarabangsa supaya negara membangun tidak terus terperangkap dalam beban hutang ketika berusaha memenuhi keperluan asas rakyat.
Anwar berkata, keperluan itu semakin mendesak berikutan perubahan pantas dalam landskap ekonomi, geopolitik dan teknologi dunia, sedangkan sebahagian besar negara membangun masih bergelut untuk mencapai kemajuan ekonomi.

Berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi hari ini, Perdana Menteri berkata, keadaan hutang yang dihadapi sesetengah negara menyebabkan sumber kewangan lebih banyak digunakan untuk membayar faedah berbanding membiayai pendidikan dan kesihatan.
“Terlalu banyak negara dibelenggu hutang sehingga lebih banyak dibelanjakan untuk membayar faedah berbanding berbelanja untuk pendidikan atau kesihatan.
“Justeru, sistem pembiayaan antarabangsa perlu lebih adil dan tidak menjerumuskan negara ke dalam hutang yang tidak tertanggung hanya kerana mahu memenuhi keperluan asas rakyat,” katanya.
Petikan ucapan itu turut dikongsikan Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran di Facebook beliau.
Beliau pada masa sama menggesa supaya inisiatif melalui Bank Pembangunan Baharu (NDB) dipercepatkan, selain memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan memanfaatkan potensi pasaran modal Islam sebagai alternatif pembiayaan.
Menurutnya, BRICS juga perlu mengambil langkah nyata bagi menangani amalan perdagangan tidak adil, selain berkongsi pengalaman pembangunan serta memperkukuh kerjasama dalam teknologi strategik termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam isu peralihan hijau pula, Anwar menegaskan pendekatan yang sama tidak boleh diterapkan kepada semua negara kerana setiap negara mempunyai realiti dan tahap pembangunan berbeza.
“Peralihan hijau mesti mengambil kira realiti dan tahap pembangunan setiap negara kerana tidak semua mampu bergerak pada kadar atau melalui jalan yang sama,” katanya.
Anwar berkata kekuatan geoekonomi BRICS melalui pasaran yang luas turut menyediakan peluang untuk negara anggota mempelbagaikan perdagangan, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional Barat dan pada masa sama menjana kemakmuran bersama.
Bagaimanapun, beliau berkata matlamat pertumbuhan yang terangkum sukar dicapai selagi konflik bersenjata terus memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk melalui kenaikan harga tenaga dan ancaman terhadap laluan laut utama.
Anwar berkata konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada negara yang tidak terlibat secara langsung menerusi peningkatan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.
“Pendirian Malaysia jelas iaitu kedaulatan mesti dihormati, orang awam dilindungi dan laluan utama ekonomi dunia tidak boleh dijadikan medan pertempuran,” katanya.
Beliau turut menggesa BRICS mengambil pendirian lebih tegas terhadap pendudukan haram, penjajahan dan keganasan Israel, sambil menegaskan setiap nyawa manusia perlu dipertahankan tanpa mengira lokasi.
Sebagai Negara Rakan BRICS, Anwar berkata Malaysia bersedia menyumbang berdasarkan prinsip autonomi strategik, termasuk kebebasan menentukan haluan sendiri dan keberanian mempertahankan pendirian ketika berdepan tekanan.





