
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi Negeri Sembilan mengetepikan sebarang perbezaan politik sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bersama-sama mengekalkan kestabilan serta kesinambungan pentadbiran negeri itu.
Perdana Menteri menerusi hantaran video di Facebook hari ini berkata, tempoh berkempen menyaksikan pelbagai pandangan dikemukakan, selain mengakui kemungkinan berlaku keterlanjuran dalam kalangan pihak yang bertanding.
“PRN Negeri Sembilan bermula dan kita sudah melalui tempoh kempen dengan pelbagai pandangan dikemukakan.
“Saya percaya dalam proses itu ada keterlanjuran, jadi marilah kita saling bermaaf-maafan dan kembali bersahabat kerana kita semua adalah rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran video itu.
Anwar yang juga Presiden PKR turut mengajak seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum dan agama supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi esok.
Beliau berkata, sekiranya diberikan mandat sekali lagi, PH akan meneruskan khidmat bagi menjamin kestabilan serta memacu pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri itu.
“Saya mewakili PH memohon pertimbangan rakyat supaya diberikan peluang untuk kami meneruskan khidmat, menjamin kestabilan dan memacu pertumbuhan yang akan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan MADANI,” katanya.
Seramai 859,750 daripada 889,940 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian PRN Negeri Sembilan ke-16 esok.






