Anwar sambut baik langkah Barat kenakan tindakan terhadap penempatan haram Israel

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pendirian bersama 12 negara Barat untuk mengenakan tindakan terhadap penempatan haram Israel termasuk langkah Britain, Kanada dan Perancis mengharamkan perdagangan barangan dari penempatan berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata, langkah yang diumumkan menerusi kenyataan bersama Menteri Luar 12 negara Barat pada 8 September lalu itu merupakan perkembangan yang dialu-alukan dan sudah lama dinantikan.

PENEMPATAN haram Israel di Tebing Barat. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Saya mengalu-alukan kenyataan bersama 8 September 2026 oleh Menteri-Menteri Luar 12 negara Barat mengenai langkah terhadap penempatan haram Israel.

“Saya mengambil perhatian khusus bahawa Britain, Kanada dan Perancis akan melaksanakan langkah mengharamkan perdagangan barangan dari penempatan, menyertai beberapa negara Eropah yang telah mengambil langkah sama,” katanya dalam hantaran itu.

Anwar turut menyambut baik kenyataan Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband di Dewan Rakyat negara itu, khususnya berhubung pengiktirafan terhadap ketidakabsahan pendudukan Israel.

Menurut beliau, Britain kini secara rasmi mengiktiraf pendudukan Israel sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, selain mengakui berlakunya pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di beberapa kawasan Tebing Barat.

“Ini merupakan pengiktirafan penting, berlandaskan undang-undang antarabangsa dan realiti yang dihadapi rakyat Palestin,” katanya.

Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan mencerminkan perubahan positif dalam pendekatan beberapa kerajaan Barat, namun ia perlu disusuli pelaksanaan yang tegas.

Beliau berkata, kerajaan terbabit perlu menggunakan pengaruh diplomatik dan ekonomi yang dimiliki terhadap Israel bagi mendesak penghentian peluasan penempatan serta pemindahan paksa rakyat Palestin.

Selain itu, katanya, tindakan turut perlu diambil bagi memastikan akauntabiliti terhadap kemusnahan yang berlaku di Gaza serta akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

“Komuniti antarabangsa mesti bergerak melangkaui kenyataan kepada langkah konkrit dan mengikat yang menegakkan undang-undang antarabangsa, melindungi hak rakyat Palestin serta menjamin keamanan yang adil dan berkekalan di Asia Barat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here