SEORANG pelancong Jerman maut selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Jasar di Cameron Highlands hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa, Jorg Habelbusch, 58, mendaki gunung itu bersama isterinya.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan seorang pelancong cedera ketika mendaki gunung itu pada jam 12.04 tengah hari.
Menurutnya, sejurus mendapat laporan, 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands bergegas ke lokasi.
Katanya, bomba terpaksa mendaki laluan curam dan mengambil masa lebih sejam untuk tiba di lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan, mangsa terjatuh di kawasan lurah bekas laluan air berhampiran puncak gunung.
“Ketika tiba di lokasi, didapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika ditemui di lokasi, lapor Buletin TV3.
Zulfadli berkata, JBPM dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pegawai Pejabat Perhutanan Daerah Cameron Highlands, terpaksa mengusung mayat mangsa melalui cerun berbahaya ke kaki gunung.
Menurutnya, operasi membawa turun mayat mangsa mengambil masa hampir tiga jam dan dilakukan ketika hujan lebat.
Sementara itu, isteri mangsa, Marina Dehne, 57, berkata, dia dan suami mula mendaki Gunung Jasar pada jam 10 pagi ini.
Menurutnya, ketika suaminya melangkah kawasan cerun, mangsa terjatuh.
“Muka suami saya terbenam dalam lumpur dan seorang pendaki cuba membantu mengangkat dia tetapi gagal,” katanya.
Marina berkata, dia dan suami tiba di Cameron Highlands sejak semalam untuk percutian selama tiga hari di pusat peranginan itu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Cameron Highlands untuk proses bedah siasat.





