PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk menyelesaikan isu penyediaan tapak perumahan bagi generasi kedua Felda, yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaannya bagaimanapun memerlukan kerjasama kerajaan negeri, memandangkan urusan tanah serta penyediaan prasarana asas berada di bawah bidang kuasa negeri.
“Keputusan dasar kita adalah untuk cari penyelesaian supaya ada pembelaan, jaminan tapak tanah bagi generasi kedua Felda. Itu dasar.
“Saya telah beritahu saya mahu masalah-masalah yang dibangkitkan berpuluh tahun generasi kedua ini, diselesaikan sementara saya jadi Perdana Menteri dan menteri yang bertanggungjawab dalam soal Felda,” katanya ketika berucap pada program bertemu masyarakat di Dataran Putra Felda Palong Timur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap di Segamat hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran.






