PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur, selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, petang ini.
Kenderaan yang membawa Anwar dilihat meninggalkan pekarangan istana kira-kira jam 6.58 petang selepas beliau berada di situ hampir sejam.
Anwar sebelum itu dilihat memasuki pekarangan istana kira-kira jam 6 petang bagi menghadap Tuanku Muhriz susulan perkembangan membabitkan kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.
Ketika kenderaan yang dinaikinya meninggalkan istana, Anwar sempat membuka tingkap dan memaklumkan kepada petugas media bahawa keadaan sedang hujan.
Pertemuan itu berlangsung ketika perkembangan politik dan perlembagaan Negeri Sembilan menjadi perhatian susulan keputusan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas Tuanku Muhriz mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata, berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Berikutan pembatalan pelantikan itu, Menteri Besar perlu mengemukakan senarai calon Exco yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) undang-undang tubuh berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dalam kenyataannya hari ini mendakwa tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Exco tanpa nasihat atau permintaan daripadanya adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
Beliau turut berkata tidak pernah dirujuk atau memberi nasihat berhubung pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan.





