SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai lemas selepas dicampakkan ke sungai oleh bapa saudaranya yang mengamuk sambil bersenjatakan parang di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di Kota Tinggi, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, suspek berusia 37 tahun dipercayai mencampakkan mangsa ke sungai sebelum kanak-kanak berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, suspek turut mengejar bapa mangsa berusia 40 tahun dan mengugut mahu mencederakannya.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Sedili pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek. Bagaimanapun, seorang anggota polis cedera disebabkan berlaku pergelutan ketika cuba menangkapnya,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Beliau memberitahu, pembantu pegawai peeubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan kematian kanak-kanak itu.
“Mayat kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk dibedah siasat,” katanya
Punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek dipercayai mengalami masalah mental.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.





