PUTRA buat laporan polis, dakwa  Exco NS lancar perang terhadap Raja

Parti  PUTRA hari ini membuat laporan polis terhadap tindakan Mesyuarat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Datuk Ismail Lasim pada 15 September berkaitan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung parti itu Ts. Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, PUTRA berpendirian bahawa tindakan dan keputusan AMMK tersebut merupakan suatu percubaan mengganggu gugat Institusi Raja Negeri Sembilan yang perlu disiasat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan (Akta 574).

‘’Seksyen 121 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan melancarkan perang, cuba melancarkan perang atau bersubahat melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertuan Negeri,’’ dalam kenyataan media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Beliau berkata,  PUTRA berpendapat keputusan Exco Negeri Sembilan menyokong proklamasi penurunan takhta seorang Raja yang berdaulat di sisi undang-undang sebagai tindakan yang amat serius.

‘’Kami juga berpandangan bahawa tindakan tersebut boleh mewujudkan suatu duluan atau ‘precedent’ yang menjejaskan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta perjalanan sistem perundangan negara,’’ tegasnya.

Ts.Nasrul Ali berkata, keputusan tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada pertimbangan perundangan yang sewajarnya telah dibuat dan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri telah diperoleh sebelum keputusan berkenaan dipersetujui secara sebulat suara.

 ‘’PUTRA juga melihat bahawa tindakan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan menghasut sebahagian masyarakat sehingga memudaratkan kedudukan InstitusiRaja-Raja Melayu,’’ katanya.

Sehubungan itu, katanya,  PUTRA mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Unit Jenayah Terkelas, supaya membuka kertas siasatan berhubung tindakan Ismail dan Exco Kerajaan Negeri Sembilan ketika itu di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

‘’PUTRA turut meminta supaya semua anggota Exco  yang terlibatdipanggil untuk memberikan keterangan berhubung keputusan yang dibuat dalam mesyuarat tersebut, termasuk asas perundangan, proses pertimbangan atau sekiranya terdapat campur tangan politik dalam pembuatan keputusan.

‘’PUTRA juga menggesa hasil siasatan hendaklah dikemukakan segera kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang negara,’’ katanya.

Beliau berkata,  PUTRA tidak berhasrat untuk terlibat di dalam isu krisis adat, tetapi urusan adat juga mesti mengikut protokol undang-undang yang telus.

‘’PUTRA menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang dan kedudukan Raja-Raja Melayu ada di dalam asas perlembagaan serta prinsip rukun negara, maka ia hendaklah sentiasa dihormati, dipelihara oleh semua pihak, dan di urus mengikut keluhuran undang-undang secara cermat, telus dan teliti,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here