SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai cuba mencapai sebuah jetski yang hanyut di tengah laut di Pantai Tengah, Langkawi semalam.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 9 malam.
“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kami dimaklumkan mangsa, Arash Nashran Abdul Maser, 23, dipercayai lemas di laut pada jarak kira-kira 100 meter dari pantai.
“Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan jetski yang hanyut di tengah laut sebelum ombak kuat menyebabkan mangsa tercampak ke dalam air. Difahamkan mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika itu,” katanya.
Operasi pencarian awal telah dijalankan di kawasan persisiran pantai bersama orang awam semalam dan bersambung pagi ini dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi mengesan mangsa.


