‘Jika hilang integriti, kita hilang segalanya’ – Ayob Khan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memberi penekanan terhadap aspek integriti dalam kalangan pegawai dan anggotanya bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu terus terpelihara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kemajuan dari segi aset, kemudahan moden serta pengalaman tidak akan membawa makna sekiranya integriti dalam pasukan diabaikan.

Menurutnya, nilai integriti bukan sesuatu yang dibentuk melalui pengalaman atau kemahiran semata-mata, sebaliknya lahir daripada jiwa dan karakter setiap anggota.

“Kita boleh mempunyai pengalaman, kemahiran dan aset yang canggih, tetapi jika tidak mempunyai integriti, semuanya tidak bernilai.

“Integriti datang daripada jiwa dan karakter seseorang, bukan daripada pengalaman atau kemahiran. Jika kehilangan karakter, kita kehilangan segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, landskap keselamatan negara ketika ini semakin mencabar apabila pihak berkuasa bukan lagi hanya berdepan jenayah konvensional.

Sebaliknya katanya, ancaman baharu seperti jenayah siber, sindiket penipuan dalam talian, penyeludupan rentas sempadan serta jenayah transnasional.

“Justeru, pasukan polis perlu terus memperkukuh keupayaan operasi dan penyiasatan menerusi pendekatan yang lebih proaktif, pantas serta berasaskan data supaya keselamatan awam terus terjamin,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek keselamatan bukan tanggungjawab pihak polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada masyarakat.

“Tanpa sokongan rakyat, usaha pasukan keselamatan tidak akan mencapai tahap keberkesanan maksimum.

“Hubungan antara polis dan masyarakat perlu terus diperkukuh demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img