
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor membuka gelanggang hari ini dengan penamaan calon melibatkan tiga pemimpin menjadi tumpuan kerana disebut-sebut calon Menteri Besar (MB) jika parti masing-masing memenangi pilihan raya berkenaan.
Ketiga-tiga mereka ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan bekas Menteri Pendidikan Dr.Maszlee Malik dari Pakatan Harapan (PH).
Mereka berhadapan saingan berbeza di kawasan masing-masing. Onn Hafiz akan berhadapan pertandingan satu lawan satu di Machap, Sahruddin akan dicabar dalam pertarungan tiga penjuru di Bukit Kepong manakala Maszlee akan bertarung dengan empat calon lain di Puteri Wangsa.
Onn Ghazi dan Sharuddin akan mempertahankan kerusi manakala Maszlee pula akan mencuba nasib di DUN Puteri Wangsa selepas kalah di DUN Layang-Layang pada PRN 2022.
Ketiga-tiga mereka hadir ke pusat penamaan calon dengan diiringi pemimpin kanan parti masing-masing.
Onn Hafiz ditemani Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.
Onn Hafiz yang merupakan Menteri Besar Johor akan berdepan dengan calon PH, Nur Hafiz Roslan.
Pertandingan satu lawan satu itu menjadi perhatian utama memandangkan Onn Ghazi dianggap calon Menteri Besar jika BN menang PRN tersebut.
Dalam PRN 2022, Onn Hafiz memenangi kerusi Machap dengan majoriti 6,543 undi. DUN tersebut merupakan kerusi DUN kedua beliau dalam pilihan raya. Sebelum bertanding di situ, Onn Hafiz memenangi kerusi DUN Layang-Layang dengan majoriti 364 undi pada PRU 2018.

Bagi Dr.Sahruddin, jika pada 2018 dan 2022 beliau masuk bertanding DUN Bukit Kepong dalam keadaan Bersatu bergabung bersama PH dan PN tetapi kali ini walaupun Bersatu masih bersama PN yang turut disertai Pas namun bekas Menteri Besar Johor ke-17 itu akan melangkah ke gelanggang tanpa kerjasama politik dengan Pas.
Dr. Sahruddin yang mewakili PN dan diiringi Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin ke pusat penamaan calon di Pagoh akan ditentang Ahmad Syarie Yusof dari BN dan C Subramani (PH).
Pada 2018 memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,273 undi manakala pada PRN 2022 Dr.Sahruddin mempertahankan kemenangan itu dengan majoriti kecil 710 undi.
Walaupun beliau dilihat calon MB kepada Bersatu namun berdasarkan kerusi yang ditandingi oleh PN dan hubungan dengan parti itu dengan Pas, calon MB sekadar ‘cakap-cakap’ bagi memeriahkan PRN.
Ia memandangkan PN bertanding 33 kerusi daripada jumlah itu Bersatu bertanding 16 kerusi, Pas (11), MIPP (5) dan Pejuang (1). Untuk tubuh kerajaan, PN perlukan majoriti mudah 29 kerusi. Kalau lihat kepada peluang gabungan itu di kerusi-kerusi tersebut berkenaan ia amat sukar dicapai walaupun tidak mustahil.
Bukit Kepong adalah antara salah satu DUN bawah Parlimen Pagoh, selain Bukit Pasir. Muhyiddin adalah Ahli Parlimen Pagoh.

Bagi Maszlee pula yang akan berhadapan pertandingan lima penjuru di DUN Puteri Wangsa, ia adalah cubaan kedua beliau dalam PRN selepas tewas di DUN Layang-Layang pada PRN 2022.
Ketika itu beliau tewas kepada calon BN, Abd Mutalip Abd Rahim dengan majoriti 2,815 undi.
Dalam PRU pada tahun yang sama, Maszlee juga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam. Beliau kalah kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dengan majoriti 1,821 undi.
Penyertaan Maszlee yang diiringi oleh Naib Presiden PKR Datuk Seri Amiruddin Shari dan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menarik perhatian kerana beliau yang baru-baru ini bersedia berdebat dengan Onn Ghazi sempena PRN disebut-sebut calon Menteri Besar jika PH menang.
Tetapi sebelum itu Maszlee mempunyai misi penting iaitu mempertahankan kerusi Puteri Wangsa yang pada 2022 dimenangi oleh PH melalui calon parti Muda, Amira Aisya Abd Aziz dengan majoriti undi 7,114 undi.
Maszlee akan berhadapan dengan Teow Chia Ling (BN) Rashifa Aljunied (Muda), Nicholas Paul Vincent (Bersama) dan Wang Wee Szong (Bebas).
Apapun kempen bermula hari ini terserah kepada ketiga-tiga calon dan parti-parti masing-masing mengatur strategi. Apabila gelanggang pilihan raya dibuka ia bukan untuk memasang mimpi tetapi berhadapan realiti demi meraih undi.






