Penarik beca rogol, amang seksual anak tiri dipenjara 12 tahun, enam sebatan

SEORANG penarik beca dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas didapati bersalah merogol serta melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 46 tahun selepas mendengar kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah rumah di Melaka pada Januari tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama kira-kira jam 11.30 malam, 17 Oktober lalu di rumah berkenaan.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai mencerminkan ketegasan undang-undang terhadap jenayah seksual, khususnya yang membabitkan kanak-kanak.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan tanpa sebatan atas alasan mengalami masalah cakera tulang belakang selain menanggung beban hutang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala lima tahun penjara serta tiga sebatan bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, kedua-dua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selepas selesai menjalani hukuman.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here