TINDAKAN pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran sebuah bilik darjah di sebuah sekolah menengah di Air Itam, malam tadi, sekali gus mengelakkan kemusnahan lebih besar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.15 malam.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dengan bantuan BBP Lebuh Pantai, membabitkan kekuatan 12 anggota, dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran membabitkan sebuah bilik darjah dengan anggaran kemusnahan sebanyak 20 peratus.
“Pada waktu kejadian, tiada aktiviti persekolahan dan tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
John berkata, kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 8.40 malam sebelum kerja pemantauan dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Katanya, operasi tamat pada jam 9.22 malam dan kes diserahkan kepada pasukan penyiasatan kebakaran untuk tindakan lanjut.





