SEORANG bekas guru tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM133,550 serta barang kemas bagi urusan perpindahan ke luar negara tahun lalu.
A Venmani, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Fatimah Zahari.
Dia didakwa menerima tiga transaksi wang berjumlah RM83,550 dan RM50,000 serta dua utas rantai dan sebentuk loket emas daripada seorang wanita tempatan berusia 39 tahun, yang mempercayai tertuduh akan membawa anaknya berhijrah ke New Zealand untuk menjalani kehidupan menjamin masa depan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank Bandar Baru Rawang dan Kota Kemuning di Shah Alam serta sebuah kedai emas di Sri Muda, Shah Alam antara Januari dan Februari 2025.
Justeru, Venmani melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1(0) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakim Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan, selain perlu mematuhi syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Farith Emier Farhan Morni memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan minimum kerana tertuduh baru kehilangan kerja dan perlu menanggung ibunya yang uzur.
“Tertuduh sebelum ini dituduh di mahkamah lain dan dibenarkan jaminan secara keseluruhan sebanyak RM30,000, saya dimaklumkan wang simpanannya sudah habis dan terpaksa bergantung kepada sumbangan ahli keluarga.”
Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dan semua syarat tambahan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Ogos ini.






