Kerajaan diminta tangguh dahulu kemasukan 15,000 pekerja asing – MHO

KERAJAAN diminta menangguhkan kemasukan 15,000 pekerja asing, sebaliknya memberi keutamaan kepada masyarakat tanpa kewarganegaraan (stateless) yang sudah lama menetap di negara ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja, khususnya sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

Gesaan itu disuarakan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerusi memorandum bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung arahan kerajaan mempercepatkan pemprosesan 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor tertentu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishammuddin Hashim berkata, masyarakat stateless wajar diberi peluang bekerja kerana mereka sudah berada di Malaysia, malah sebahagiannya terdiri daripada generasi keempat dan kelima yang dilahirkan serta membesar di negara ini.

Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga kerja, malah berupaya mengubah status masyarakat stateless daripada liabiliti kepada aset negara sekiranya diberikan identiti dan peluang pekerjaan yang sah.

“Kami membantah dengan penuh hormat arahan untuk mempercepatkan kemasukan 15,000 pekerja asing. Jika industri memerlukan pekerja dalam sektor 3D, kita cadangkan supaya keutamaan diberikan kepada masyarakat stateless yang sudah ada di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada PMO di Putrajaya hari ini, lapor BH.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Aznur Hafeez Kaswuri.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) supaya segera menguruskan 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor berkaitan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri sebagai langkah memastikan keperluan tenaga kerja dipenuhi.

Menurut Fahmi, langkah itu juga penting bagi menyokong aktiviti ekonomi negara.

Hishammuddin dalam pada itu berkata, masyarakat stateless di Sabah mempunyai latar belakang berbeza dengan pelarian lain kerana sebahagian keluarga mereka berasal daripada pelarian selatan Filipina yang pernah diberikan dokumen IMM13 oleh Jabatan Imigresen pada 1970-an.

Katanya, hampir 104,000 dokumen IMM13 pernah dikeluarkan kepada pelarian berkenaan dan keturunan mereka kini membentuk komuniti besar di Sabah.

“Ramai daripada mereka tidak boleh dihantar pulang kerana tiada rekod kewarganegaraan atau negara penerima. Mereka lahir di sini dan sudah menjadi generasi keempat atau kelima.

“Justeru, kita perlu mencari penyelesaian dengan memberikan identiti dan peluang pekerjaan yang sah kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, pengambilan pekerja asing dalam jumlah besar turut menyebabkan sebahagian pendapatan yang diperoleh di Malaysia dihantar keluar negara.

Beliau berkata, sekiranya peluang pekerjaan itu diberikan kepada masyarakat stateless, pendapatan mereka berpotensi dibelanjakan dalam negara, khususnya di kawasan seperti Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

“Kita mahu mereka menjadi aset kepada negara. Jika diberikan identiti dan peluang bekerja, gaji mereka akan dibelanjakan di Malaysia dan membantu ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau turut mendakwa, masyarakat stateless yang sudah beberapa generasi menetap di Malaysia lebih memahami bahasa, budaya dan adat resam tempatan berbanding pekerja asing yang baru dibawa masuk.

Sehubungan itu, MHO berharap Perdana Menteri mempertimbangkan semula keputusan berhubung kemasukan 15,000 pekerja asing terbabit.

“Kita minta kemasukan itu ditangguhkan terlebih dahulu dan kerajaan menilai potensi masyarakat stateless yang sudah ada di negara ini,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here