Bekas Pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan direman tujuh hari

BEKAS Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Permohonan reman yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dibenarkan Majistret Ezrene Zakariah.

Terdahulu kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira jam 9.30 pagi tadi bagi proses permohonan reman.

Mereka yang memakai pakaian lokap bewarna jingga hadir menaiki kenderaan SPRM sebelum diiringi pegawai ke kamar mahkamah dalam keadaan bergari.

Kedua-duanya kelihatan tenang serta sempat menyapa rakan terdekat dan petugas media yang menunggu.

Proses reman bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan itu dibuat bagi membantu siasatan kes susulan pendedahan laporan RCI berkaitan TH.

Terdahulu, sumber daripada laman TikTok SPRM mendedahkan kedua-dua lelaki dalam lingkungan usia 60-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam.

Sebelum ini, SPRM sudah menahan dan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.

Mereka membabitkan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun disiapkan mengemukakan 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi terbabit.

Antara syor utama laporan itu adalah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.

Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung laporan RCI TH itu dijalankan ‘hingga ke lubang cacing’.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here