LIMA pusat panggilan (calling centre) sindiket penipuan yang berselindung di sebalik kediaman mewah sekitar Lembah Klang dibongkar dengan penahanan 40 individu baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Shah Alam, Kajang dan Subang Jaya.
Menurutnya, lima kediaman yang dijadikan pusat panggilan diserbu masing-masing di Shah Alam, Kajang, Subang Jaya dan dua lokasi di Sungai Buloh.
“Semakan mendapati 37 tangkapan ialah warga asing, manakala tiga lagi warga tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini, lapor Sinar Harian.
Shazeli berkata, siasatan mendapati suspek direkrut sebagai operator khidmat pelanggan (customer service) dengan bayaran upah tertentu.
“Ada juga suspek yang masih belum menerima upah, namun sudah dijanjikan bayaran.
“Lima kes ini melibatkan sindiket berlainan yang beroperasi sejak pertengahan tahun ini dengan menyasarkan mangsa warga Taiwan, China, Jepun dan Hong Kong,” katanya.
Beliau berkata, terdapat operator yang memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis dari sebuah negara di Asia.
Katanya, polis sedang menyiasat ketulenan kad polis yang digunakan suspek dan percaya ia antara taktik baharu sindiket bagi memperdaya mangsa.
Tambahnya, lokasi yang dijadikan pusat operasi sindiket terdiri daripada banglo, rumah berkembar (semi-D), rumah teres dua tingkat serta kondominium.
“Suspek warga asing terbabit dipercayai masuk ke dalam negara menggunakan pas pelancong dan semakan dibuat untuk pengesahan dokumen terbabit,” katanya.
Menurutnya, dalam serbuan berkenaan, polis merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, buku yang disyaki mengandungi skrip penipuan, modem, router, komputer riba serta pasport.
“Nilai keseluruhan rampasan mencecah RM165,000,” katanya.
Shazeli turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki wujud kegiatan pusat panggilan yang menjalankan aktiviti penipuan di kawasan kediaman atau premis perniagaan.
Katanya, maklumat daripada orang ramai penting bagi membantu polis mengambil tindakan pembanterasan terhadap kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.





