SEORANG pemandu p-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini atas 14 pertuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket pelaburan tidak wujud sehingga menyebabkan dua individu kerugian hampir RM600,000.
Pee Wei Onn, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh yang masih bujang didakwa secara langsung dan tanpa maksud yang sah terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM29,900 ke dalam akaun sebuah syarikat yang didaftarkan atas namanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Mutiara Perdana, di sini, antara jam 10.26 pagi hingga 3.49 petang pada 17, 18 dan 24 Mac tahun lalu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ke-14, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan kemasukan wang berjumlah RM560,000 ke dalam akaun berkenaan di sebuah rumah di Taman Bukit Perdana 2 antara 29 Mei hingga 26 Jun tahun lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM150,000 jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan polis, dua mangsa terdiri daripada seorang doktor wanita berusia 33 tahun dan seorang pesara lelaki berusia 67 tahun yang masing-masing membuat laporan selepas mendakwa ditipu sindiket yang menawarkan pelaburan saham dan mata wang.
Kedua-dua mangsa mendakwa terpedaya selepas melihat tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan sehingga 990 peratus.
Terpedaya dengan tawaran berkenaan, kedua-dua mangsa melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama tertuduh, sebelum mendapati pelaburan berkenaan sebenarnya tidak wujud.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM70,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan selain memohon mahkamah mengenakan beberapa syarat tambahan.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 haribulan, tidak mengganggu saksi atau mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar jumlah ikat jamin itu sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.
Mahkamah menetapkan 24 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam.





