BEKAS Pengurus pemasaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas 27 pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan urusan pembelian sawit bernilai lebih RM500,000.
Airulnizam Island, 44, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa secara tidak jujur telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Invois Pembelian Sawit TRC Sawit Sdn Bhd kepada PPK Bernam Jaya antara Januari 2020 hingga Disember 2022 dengan nilai keseluruhan RM540,238.38.
Kesalahan itu dilakukan di PPK Bernam Jaya, Lot PT 608 Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Tertuduh yang juga merupakan penjawat awam di sebuah agensi kerajaan di Pulau Pinang itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Alimi Mustapha menawarkan jaminan RM50,000 dengan tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat serta tidak menganggu saksi pendakwaan.
Peguam Hafiz Norkhan mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan minimum pada sekitar RM15,000.
“Tertuduh mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak berusia 16, 15 dan lapan tahun. Saya juga difahamkan isteri tertuduh baru sahaja diketahui menghidapi penyakit cerebral palsy. Tertuduh juga telah hadir secara sukarela ke mahkamah dan telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan RM20,000 dan membenarkan kesemua syarat tambahan dengan sebutan semula kes pada 3 Nov ini.





