
AGENDA Maju Johor 2030 yang menjanjikan kemajuan buat negeri selain mensasar penciptaan ribuan peluang pekerjaan tidak akan dicapai sekiranya Johor ditadbir sebuah kerajaan yang tidak mempunyai mandat jelas dan tanpa kestabilan politiknya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kestabilan politik adalah faktor penentu yang berupaya menarik keyakinan pelabur asing untuk masuk ke negeri ini.
“Sebab kalau tidak ada kestabilan politik, kita ada masalah (tarik keyakinan pelabur). Sebab itu di peringkat Johor ini, kalau kita tengok sumbangan kepada GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar), ia sangat tinggi kalau banding negeri lain.
“Sebab negeri ini (politiknya) stabil,” katanya pada Program Wacana Kempas di Johor Bahru hari ini. Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani dan Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Mengulas lanjut, Johari berkata, kemudahan infrastruktur yang serba lengkap di Johor turut memberi kelebihan untuk menyakinkan pelabur luar khususnya Singapura.
“Dia (pelabur) tengok infrastruktur. Kemudian dia tengok apa yang kita sediakan. Kalau kamu tengok (pelaburan) Data Centre ini, apakah kita cukup utiliti atau tidak, elektrik dan air ini,” katanya.
Memberi contoh kemasukan pelaburan Data Centre sebelum ini, Johari yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan masalah tanah dihadapi Singapura mengakibatkan negara jiran itu memilih Johor sebagai destinasi pilihan memperluas pelaburannya.
“Saya bagi contoh macam Data Centre dekat Johor. Dia ada kekangan. Dia satu sektor yang kita panggil ‘service sector‘. Tetapi ‘service sector‘ ini unik. Kalau tak ada kawasan, tak ada tanah, macam mana nak buat Data Centre?.
“Jadi apa yang Singapura ada. dia sudah ambil. Apabila orang datang bertumpu-tumpu ke Johor ini, ke Singapura ini, dia nampak sudah tak ada tempat (di Singapura). Jadi dia nampak Johor.
“Mula-mula nak masuk takut. Lama-lama-lama dia tengok, kerajaan (Johor) ini sangat mesra pelabur, tak bergaduh dengan orang. Ada pula keluasan tanah cukup besar. Maka mereka datang, beratus orang datang melabur. Sebab itu kita tengok pelaburan datang di Johor ini RM110 bilion,” katanya.
Justeru, beliau berkata, rakyat Johor menjadi penentu menjelang hari pengundian Sabtu depan, sama ada negeri ini boleh mengembalikan kestabilan politiknya semula atau tidak.
“Johor tidak boleh berkembang kalau kita tidak ada konsep ini. Sebab itu, kita rakyat Johor kena buktikan, sudah ada di depan mata, (mandat) 40 daripada 56 (kerusi DUN sebelum ini, maka perlu) diteruskan,” katanya.






