Berlagak seperti wanita, 14 lelaki mengaku tidak bersalah

SERAMAI 14 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Temerloh hari ini atas pertuduhan berlagak seperti wanita, manakala tiga daripada mereka turut didakwa atas pertuduhan tambahan berpakaian tidak sopan di tempat awam.

Pengakuan itu direkodkan di hadapan Hakim Norhisham Ahmad selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013, manakala tiga daripada mereka turut didakwa mengikut Seksyen 53 enakmen sama.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 11 malam hingga 11.30 malam pada 12 Januari 2025 di Garden Dream Hall, Mentakab.

Peguam syarie yang mewakili semua tertuduh, Muhammad Syarafi Mohd Salleh berkata, anak guamnya membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon agar kes berkenaan dibicarakan.

“Kami akan mendapatkan dokumen berkaitan bagi membolehkan pihak pembelaan meneliti keseluruhan kes sebelum prosiding seterusnya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM500 hingga RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Muhammad Syarafi berkata, tiada syarat pemantauan khas dikenakan terhadap semua tertuduh selepas mereka dibebaskan dengan jaminan kerana urusan penguatkuasaan telah selesai dan kes kini di bawah kendalian pihak pendakwaan.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, tiga tertuduh yang turut didakwa mengikut Seksyen 53 enakmen sama pula berdepan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Busu Firdaus Abu Bakar, manakala peguam syarie Mohamed Noor Helmi Abdul Hamid turut mewakili kesemua tertuduh.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img