SEORANG pesara swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang p-hailing, dua bulan lalu.
Tertuduh, Fong Heng Leong, 72, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa memandu sebuah Proton X70 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Azim Haikal Noor Aziddin, 22, di Jalan 17/21, Petaling Jaya pada jam 1.42 petang, 5 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Mengikut Seksyen 41(2) dan Seksyen 41(3) akta sama, individu yang disabitkan kesalahan turut hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yussoff manakala tertuduh diwakili peguam, Suraj Singh.
Mahkamah menetapkan 21 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.
Pada 6 Mei lalu, media melaporkan seorang lelaki warga emas yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan itu dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Dalam kejadian berkenaan, kenderaan dipandu tertuduh dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal ditunggang mangsa.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.






