SEORANG wanita didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam atas pertuduhan membunuh anak tirinya yang berusia empat tahun di sebuah rumah di Taman Perling di Johor Bahru awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibu tirinya yang berusia 23 tahun kira-kira jam 4.23 petang, 2 Jun lalu.

Menurutnya, wanita itu kemudian menghubungi ambulans sebelum mangsa disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital.
“Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa dan kes pada mulanya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan pada 3 Jun mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan tumpul pada bahagian dada (blunt trauma to the chest), sekali gus menyebabkan kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan perkembangan itu, polis menahan tiga warga asing terdiri daripada bapa kandung mangsa berusia 22 tahun, bapa saudara mangsa berusia 32 tahun serta ibu tirinya berusia 23 tahun dalam serbuan berasingan sekitar Johor Bahru pada 3 Jun.
Katanya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing ke atas mereka didapati negatif.
“Mahkamah Majistret Johor Bahru kemudian membenarkan perintah reman terhadap kesemua suspek bermula 3 hingga 17 Jun bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut beliau, selepas siasatan lengkap dijalankan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, pihak pendakwaan mengarahkan supaya ibu tiri mangsa dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, turut dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Dalam masa sama, kedua-dua suspek lelaki dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tata Cara Jenayah.
Ab Rahaman berkata, tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 15 Jun lalu.
“Tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan dan kini ditahan di Penjara Simpang Renggam sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan pada 18 Jun ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi atau melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang berhubung kes berkenaan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah walaupun mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.
“Masyarakat juga digalakkan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi membantu mengekalkan ketenteraman awam,” katanya.






