Bersatu tanding 16 kerusi, Rashid Hasnon bertarung di DUN Senggarang

BEKAS Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Batu Pahat pada PRU-15 dicalonkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri  (DUN) Senggarang bagi mewakili Bersatu dalam PRN Johor pada 11 Julai ini.

Beliau merupakan antara 16 calon parti itu yang diumumkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh malam tadi.

DUN Senggarang merupakan kerusi DUN pertama ditandingi Rashid di Johor. Sebelum itu pada PRU-13, beliau pernah menjadi ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang sebelum berpindah ke Johor.

Beliau yang dilahirkan di Muar, kemudian menang kerusi Parlimen Batu Pahat pada PRU-14 atas tiket PKR dengan majoriti 17,894 undi. Bagaimanapun beliau yang menyertai Bersatu gagal mempertahankan kerusi itu dalam PRU-15 apabila tewas kepada calon PH, Onn Abu Bakar dengan majoriti 15,972 undi.

DUN Senggarang ketika ini disandang oleh Mohd Yusla Ismail daripada Barisan Nasional dengan majoriti 3,912 undi. Mohd Yusla akan mempertahankan kerusi itu dalam PRN kali ini.

 

Dalam pengumuman itu, bekas Menteri Besar Johor yang juga penyandang kerusi Bukit Kepong, Datuk Dr.Sahruddin Jamal diberi tanggungjawab mempertahan kerusi tersebut yang dimenangi oleh beliau dengan majoriti tipis 710 undi pada PRN 2022.

Pada PRN tersebut Bersatu yang bertanding 33 kerusi hanya menang dua kerusi termasuk Bukit Kepong. Satu lagi kerusi ialah DUN yang dimenangi oleh Alwiyah Talib dengan majoriti 3,041 undi.

Bagaimanapun baru-baru ini Alwiyah mengumumkan keluar dari Bersatu dan kembali menyertai UMNO. Beliau dipilih untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam PRN kali ini bagi kerusi yang sama.

Pas akan mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di DUN Endau melalui calonnya  Hasnul Hakimi Hussein.

Turut menarik perhatian ialah pemilihan bekas ADUN Layang-Layang Abd Mutalip Abd Rahim yang semalam menyertai Bersatu selepas mengumumkan keluar UMNO.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,815 undi pada PRN 2022 menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Pendidikan Dr.Maszlee Malik. Bagaimanapun dalam PRN kali ini Maszlee yang mewakili PH akan bertanding di kerusi Puteri Wangsa.

Senarai penuh calon Bersatu pada PRN Johor:

N04 Kemelah – Uzzair Ismail

N07 Bukit Kepong – Dr Sahruddin Jamal

N08 Bukit Pasir – Idzharruddin Nasirruddin

N11 Serom – Mahfidz Omar

N14 Bukit Naning – Radzi Amin

N20 Semarang – Syafiq Abdul Aziz

N22 Parit Raja – Maliki Rapiee

N24 Senggarang – Rashid Hasnon

N25 Rengit – Syed Mohamad Syed Alwi

N27 Layang-Layang – Mutalip Haji Abd Rahim

N33 Tenggaroh – Amerul Muhamad

N34 Panti – Alias Rasman

N36 Sedili – Rasman Haji Ithnain

N37 Johor Lama – Aisah Esa

N38 Penawar – Fairulnizar Rahmat

N45 Stulang – Lim Chin Eng @ Roland Lim



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img