
BERTANDING lima kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini mencatat sejarah kepada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Ia memandangkan penyertaan itu dalah kali pertama bagi parti yang merupakan komponen Perikatan Nasional (PN) tersebut bertarung dalam pilihan raya.
Lima calon MIPP ialah Lina Manoh Manogaran (Bukit Permai), Jeevakumar Dhayalan (Paloh), Anna Pravina Segaran (Kota Iskandar), Ariventharan Anandan (Pemanis) dan Vela Tebakumaran (Permas).

Presiden MIPP P Punithan menyifatkan detik itu sebagai ‘sangat bersejarah’, bukan sahaja untuk parti itu tetapi juga bagi masyarakat India dan rakyat Johor.
Beliau berkata, lima calon itu dipilih bukan berdasarkan populariti semata-mata, tetapi kerana integriti, pendidikan, kemampuan dan kesediaan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.
MIPP ditubuhkan pada 28 Mei 2018 dan didaftarkan secara rasmi pada 28 Mei 2019. Parti itu diterima secara rasmi menjadi komponen PN pada April 2024 dan menjadi parti berasaskan kaum India pertama dalam gabungan itu.
MIPP menjadi komponen terbaharu PN mengumumkan calon bagi PRN Johor selepas Bersatu menamakan 16 calon dan Pas mengumumkan 11 calon.
Sekutu PN, Pejuang, turut menamakan calon tunggalnya, Suraya Sulaiman, bagi kerusi Gambir.
Bagaimanapun Gerakan dan Parti Wawasan Negara yang juga komponen PN tidak menyertai PRN tersebut.






