
TANGGUNGJAWAB Pas sebagai tonggak Perikatan Nasional (PN) dan diberi amanah memilih salah seorang Ahli Parlimen parti itu menjadi Ketua Pembangkang semakin mudah.
Ia memandangkan Bersatu melalui Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menegaskan di Terengganu semalam Majlis Tertinggi PN telah mencapai kata putus bahawa kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin itu akan diisi oleh wakil (Ahli Parlimen) daripada Pas.
Menurut beliau, keputusan tersebut selaras dengan persefahaman dalaman komponen PN dan Bersatu yang sedia menerima mana-mana Ahli Parlimen Pas yang dicalonkan.
”Kita sudah buat keputusan di peringkat Majlis Tertinggi PN sebelum ini dan kini kerusi itu telah pun dikosongkan. Bila sudah kosong, sepatutnya ia segera diisi. Jadi, sesiapa sahaja Ahli Parlimen Pas yang dipersetujui untuk dicalonkan, pihak Bersatu akan menerimanya,” katanya.
Walaupun ketika ini bukanlah waktu sesuai bercakap soal ketua pembangkang memandangkan semua parti patut memberi tumpuan kepada krisis tenaga global yang semakin kritikal, tetapi tidak mengapalah…mungkin apabila Pas sudah memilih calon bagi jawatan itu harap-harap hilanglah kot keresahan pemimpin Bersatu.
Bukan apa…penulis simpati kepada beberapa orang pemimpin Bersatu macam hidup resah gelisah, tak sabar nak tahu siapa Pas hendak pilih jadi Ketua Pembangkang.
Sepatutnya apabila sudah beri mandat kepada Pas memilih mana-mana Ahli Parlimen parti itu maka berilah masa kepada Pas buat keputusan. Lagipun sidang Parlimen hanya akan diadakan pada Jun nanti.
Adalah lebih baik jika PN khusus Bersatu memberi tumpuan bagaimana mahu membantu rakyat bagi menghadapi krisis tenaga ketika ini. Memanglah ia urusan kerajaan untuk menguruskan tetapi tak kanlah kerja PN hanya membangkang sahaja dan tak habis-habis dok bandingkan bagaimana mereka menguruskan Covid-19 dahulu?
Tetapi oleh kerana Muhyiddin sudah menyatakan pelantikan itu tidak wajar ditangguhkan terlalu lama kerana boleh timbul pelbagai andaian yang tidak memberi gambaran baik kepada PN dan perlu dilakukan segera manakala Bersatu sedia terima siapa sahaja Ahli Parlimen Pas, penulis berpendapat ia kerja mudah untuk Pas.
Jika ditakdirkan oleh Allah SWT, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut membuat keputusan menyertai Pas maka beliau layak menjadi Ketua Pembangkang kerana Bersatu melalui Muhyiddin sudah menegaskan;
‘’Jadi, sesiapa sahaja Ahli Parlimen Pas yang dipersetujui untuk dicalonkan, pihak Bersatu akan menerimanya.’’
Bersatu tidak pula menyatakan ‘asal bukan Hamzah’ tetapi menegaskan, ‘’Ahli Parlimen Pas’’… oleh itu kalau Hamzah menyertai Pas bolehlah beliau menjadi Ketua Pembangkang. Tambahan pula beliau bebas menyertai mana-mana parti sebab bukan lagi Ahli Parlimen Bersatu. Lainlah kalau macam beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang digantung keahlian.
Lagipun penulis dikhabarkan terdapat sekurang-kurangnya 19 Ahli Parlimen Bersatu menyokong Hamzah dan keseluruhannya Hamzah ada sokongan 62 ahli Parlimen. Tidak kisahlah berapapun sokongan tetapi yang penting Bersatu sudah bersetuju jawatan Ketua Pembangkang Pas dipegang oleh Ahli Parlimen Pas..noktah!
Jangan pula nanti bila Pas membuat keputusan melantik Hamzah, ada yang tidur tak lena, makan tak lalu, air panas terjirus kat tangan pun tak terasa..kasihan la pulak kan.. Apapun bersabarlah Bersatu dalam menanti keputusan Pas. Penulis yakin Pas sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Tidak perlu beri tekanan kepada Pas.
Sebagai parti yang memiliki kerusi Parlimen paling banyak dalam PN, menguasai empat negeri iaitu Perlis (walaupun Menteri Besar Bersatu), Kedah, Kelantan dan Terengganu, tidak berlaku apa-apa krisis dalaman apatah lagi pecat memecat, maka berilah ruang dan kebebasan kepada Pas membuat keputusan.
Sebelum ini Pas sudah beri peluang kepada Bersatu menjadi Pengerusi Perikatan Nasional dan Pas juga mengizinkan Bersatu menjadi Ketua Pembangkang, jadi berilah peluang menentukan siapa yang mereka mahu menggantikan Hamzah atau mengekalkan Hamzah. Betul tak?


