RAKYAT perlu bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan dengan penuh kebijaksanaan dengan ketegangan geopolitik yang sedang melanda dunia ketika ini.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan keprihatinan terhadap situasi terkini itu yang mengorbankan nyawa dan berpotensi menjejaskan kestabilan ekonomi, sosio-politik dan kesejahteraan sejagat.
Baginda selaku Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah, keadaan ini seharusnya menjadi iktibar kepada semua supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa.
“Kita semua seharusnya sentiasa cakna akan keperluan negara, serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan penuh kebijaksanaan dan tanggungjawab.
“Saya menyeru seluruh rakyat untuk terus mendoakan negara kita serta negara serantau, sentiasa dilindungi daripada sebarang kesan buruk akibat pergolakan yang berlaku,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104, di Shah Alam hari ini.
Pada sidang pertama yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin pagi ini, Tengku Permaisuri Selangor berkenaan mengurniakan ijazah sarjana kepada 290 graduan pasca siswazah peringkat Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana Kepakaran Klinikal.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan graduan supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri, berfikiran kritis dan berdaya saing dalam mendepani zaman kepesatan teknologi serta perubahan landskap ekonomi global.
“Dalam mengejar kemajuan, tidaklah kita mengabaikan nilai adab, integriti dan tanggungjawab sebagai insan yang berilmu.
“Kemajuan ketamadunan sesebuah masyarakat amat bergantung kepada perkembangan ilmu. Semakin luas ilmu diterokai, semakin tinggi keupayaan sesuatu bangsa untuk maju dan berkembang.
“Namun, ilmu yang tidak dimanfaatkan sebaiknya, apatah lagi disalahgunakan, berpotensi membawa kerosakan kepada diri, masyarakat, malah boleh meruntuhkan ketamadunan itu sendiri,” titah baginda sambil mengingatkan graduan sebagai generasi muda, generasi pewaris bangsa supaya terus menuntut ilmu tanpa jemu.
Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Kee Mustafa atas pelantikan sebagai Pro-Canselor UiTM dan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap kepimpinan, pengalaman serta sumbangannya yang tidak ternilai.


