KERAJAAN menyifatkan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) sebagai biadab apabila membantah tindakan Malaysia mengusir warga Israel.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, apa yang mereka lakukan seolah-olah mahu mencampuri urusan kedaulatan negara ini.
“Kita tidak akan berdiam dan sudah pasti kita akan sampaikan mesej yang sangat jelas kepada Kedutaan AS….jangan campuri urusan dalaman termasuk isu imigresen bagi negara Malaysia’.
“Negara kita negara yang berdaulat. Sekiranya ada mana-mana pihak, individu didapati melanggar syarat-syarat, maka kita mempunyai kuasa, kita mempunyai hak untuk menghalau dan mengusir mereka.
“Jadi, jangan cuba mencampuri urusan dalaman negara kita. Itu bukan satu perkara yang baik dan kita akan pastikan Kedutaan AS mengetahui pendirian ini,” katanya di Kuala Pilah.
Semalam lapan Ahli Kongres AS semalam, menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyuarakan tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu mengusir segera rakyat Israel berada di Malaysia.
Mereka adalah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.
Berdasarkan surat yang dimuat naik Landsman di akaun Facebooknya, Ahli Kongres terbabit menyuarakan kebimbangan yang amat serius terhadap kenyataan Anwar.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pendirian Kerajaan Persekutuan juga amat tegas, berkait isu Network School yang mempunyai dakwaan warga Israel dengan dua kerakyatan menetap di kawasan Forest City.
Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini juga berpendirian negara ini tidak akan berkompromi berhubung isu itu.
Fahni berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga sudah memaklumkan kepada Jemaah Menteri proses siasatan berkaitan isu itu sedang diperhalusi, melibatkan 11 individu yang dipercayai mempunyai dua kerakyatan.
“Bagi Jabatan Imigresen dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), tidak berlaku apa-apa kesalahan yang dikenal pasti tetapi siasatan itu diteruskan.
“Sehingga tadi, Menteri Dalam Negeri memaklumkan tidak ada warganegara Israel dikesan dalam kalangan 266 orang yang disiasat dan ditemui Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa,” katanya.






