Pemandu Grab OKU saman polis, kerajaan selepas diserang, didesak tarik laporan

SEORANG pemandu Grab orang kurang upaya (OKU) memfailkan saman sivil berhubung dakwaan serangan yang berlaku di luar sebuah hotel dan pengendalian laporan polisnya susulan insiden tersebut pada Mei 2024.

Ong Ing Keong, 48, yang mengalami masalah pendengaran mendakwa, dia ditumbuk di muka secara tiba-tiba oleh seorang lelaki bernama Taufik Ismail pada 28 Mei 2024 ketika mengambil penumpang di hotel tersebut.

Selain Taufik, plaintif turut menamakan Che W Hashimi Rafsanjani Che W Raksan, seorang pegawai polis di Balai Polis Travers yang didakwa mendesak Ing Keong menarik balik laporan polisnya, serta Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Negara sebagai defendan.

Ing Keong turut menyaman kerajaan sebagai majikan, berdasarkan liabiliti vikarius atas tindakan pihak polis, lapor FMT.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan oleh firma guaman Daim & Gamany pada 10 Julai, pemandu terbabit berkata, dia tiba di kawasan mengambil penumpang hotel itu untuk menjemput empat penumpang apabila sebuah kenderaan lain berhenti di sebelah keretanya.

Ketika penumpang masih menaiki kenderaan, seorang lagi lelaki berpakaian seperti pekerja hotel didakwa memberi isyarat kepadanya untuk beredar, sebelum Taufik secara tiba-tiba menumbuk Ing Keong melalui tingkap pemandu.

Menurut plaintif, berikutan tindakan itu, dia mengalami sakit pada bahagian muka, kecederaan tisu lembut dan lebam pada bibir atasnya, selain berasa terkejut, trauma dan aib akibat insiden yang didakwa berlaku di depan penumpangnya dan khalayak umum.

Dia kemudian membuat laporan polis pada hari sama sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Ing Keong mendakwa, selepas kembali ke Balai Polis Travers, polis mengambil telefon bimbitnya dan enggan memulangkannya melainkan dia menarik balik laporannya dan memadamkan rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) kejadian tersebut.

Katanya, dia bergantung pada telefon bimbitnya untuk berkomunikasi dan bekerja, dan dia sangat tertekan apabila peranti itu dirampas.

Ing Keong turut mendakwa dia dinafikan akses kepada jurubahasa isyarat atau bantuan komunikasi lain, walaupun berhak mendapat kemudahan tersebut di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008.

Dia berkata, Che W Hashimi menekannya untuk menarik balik laporan polis dan menerima RM800 bagi menyelesaikan perkara itu, dan dia hanya menandatangani beberapa dokumen kerana bimbang telefon bimbitnya akan dirampas jika tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun, Ing Keong memaklumkan kepada pihak polis pada keesokan harinya bahawa dia mahu siasatan diteruskan.

Plaintif mendakwa, Taufik melakukan serangan, kekerasan dan kecuaian, manakala Che W Hashimi melakukan misfeasans dalam jawatan awam kerana didakwa cuba memaksanya menarik balik laporan polis.

Dia juga mendakwa pegawai kanan polis dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius atas tindakan pegawai tersebut.

Selain itu, saman tersebut mendakwa wujudnya pelanggaran tugas berkanun di bawah Akta Polis 1967 dan Akta Orang Kurang Upaya, termasuk dakwaan kegagalan menyediakan bantuan komunikasi kepada pengadu yang pekak serta kegagalan menyiasat kesalahan yang dilaporkan dengan sewajarnya.

Ing Keong menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. Dia juga memohon deklarasi bahawa pihak berkuasa polis telah melanggar tugas berkanun mereka, serta perintah yang mewajibkan pihak polis menyediakan kemudahan jurubahasa isyarat dan bantuan komunikasi lain di balai polis.

Pengurusan kes akan dijalankan pada 12 Ogos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img