SEBUAH kereta mewah BMW 7 Series yang dipandu seorang lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) antara 145 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak awal tahun ini.
Difahamkan, kenderaan dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan dan disita selepas didapati menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang sudah tamat tempoh.
Lebih menarik perhatian, ketika ditahan minggu lalu, kenderaan mewah berkenaan dipercayai sedang dihias untuk digunakan dalam satu majlis perkahwinan.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata, sitaan itu dilakukan menerusi Ops Luxury yang memberi tumpuan terhadap pematuhan undang-undang melibatkan pemilik dan pengguna kenderaan mewah di negeri berkenaan.
Menurutnya, sepanjang operasi itu dijalankan, sebanyak 870 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 145 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.
Katanya, sitaan membabitkan pelbagai model kenderaan mewah termasuk BMW, Mercedes-Benz, Toyota Alphard, Lexus dan BMW Limousine.
“Sepanjang operasi ini, sebanyak tujuh kenderaan mewah disita membabitkan bukan warganegara, terutama dari China, Pakistan dan Bangladesh selain seorang pemegang kad UNHCR.
“Operasi ini memberi tumpuan khusus terhadap pematuhan LKM, perlindungan insurans dan lesen memandu yang tidak sah atau tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut memberi perhatian terhadap pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan JPJ serta pelbagai pelanggaran lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, setiap kesalahan yang dikesan akan dikenakan tindakan tanpa kompromi termasuk sitaan kenderaan dan pendakwaan di mahkamah.
“Saya ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan mewah dan penggiat automotif bahawa nilai atau status sesebuah kenderaan tidak memberikan sebarang kekebalan daripada tindakan undang-undang.
“JPJ akan meningkatkan kekerapan dan intensiti operasi penguatkuasaan khususnya melibatkan kenderaan mewah termasuk melalui rondaan, sekatan jalan raya dan pemeriksaan teknikal bagi memastikan tahap pematuhan sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.






