MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 13 Ogos depan untuk mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghalang balu bekas Menteri Kewangan, Naimah Khalid daripada menguruskan aset luar pesisir bernilai berbilion ringgit di Jersey, wilayah naungan Mahkota British.
Permohonan itu membabitkan aset berjumlah USD157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan GBP85 juta (kira-kira RM4.9 bilion), menjadikan keseluruhan nilai aset yang terlibat dianggarkan sekitar RM5.6 bilion.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh berkenaan semasa prosiding pengurusan kes yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Naimah.
Naimah dikecualikan daripada hadir pada prosiding hari ini.
Pada 25 Jun tahun lalu, SPRM selaku pihak pendakwaan memfailkan permohonan bagi menghalang Naimah atau mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengannya daripada mengurus aset terbabit.
SPRM mendakwa aset berkenaan diperoleh di Malaysia oleh Naimah atau individu berkaitan dengannya namun tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) akta sama.
Kes berhubung aset di Jersey itu merupakan permohonan ketiga difailkan pihak pendakwaan selepas tindakan sama sebelum ini melibatkan aset di United Kingdom (UK) dan Singapura.
Pada 19 Jun tahun lalu, SPRM turut memfailkan permohonan untuk menghalang Naimah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin, dua individu, lima syarikat serta pihak berkaitan daripada mengurus aset di Singapura melibatkan wang pelaburan GBP21 juta (kira-kira RM121 juta) dan USD99 juta (kira-kira RM423 juta).
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 22 Mei lalu menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah larangan terhadap pelaburan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah turut menetapkan 30 Jun ini untuk keputusan permohonan Naimah membatalkan tindakan SPRM membekukan beberapa bangunan komersial dan kediaman di London, UK bernilai GBP132 juta.
Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan lapan kertas siasatan dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, keluarganya serta individu proksi.
Menurut beliau, maklumat diperoleh menunjukkan aset berkenaan didakwa tidak diisytiharkan semasa siasatan dijalankan pada 2023.






