Syarikat korporat, NGO diseru bantu kukuhkan program pemulihan klien di Puspen

LEBIH  banyak pihak khususnya syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru tampil bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha memperkukuh program pemulihan klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata penyalahgunaan dadah merupakan isu sejagat yang memerlukan sokongan seluruh masyarakat dalam menanganinya, dan bukan hanya terletak pada bahu AADK mahupun kerajaan semata-mata.

Beliau berkata sokongan pihak luar amat penting terutama dalam menyediakan bimbingan, motivasi serta peluang kepada klien untuk membina kehidupan baharu selepas keluar daripada pusat berkenaan sekali gus memastikan mereka tidak kembali terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu.

“Di Puspen, kita sudah ada modul tertentu tetapi yang paling penting apabila mereka keluar nanti… kerana di luar sana adalah berbeza. Justeru, kita galakkan pihak luar, tidak kira korporat mahupun agensi datang bersama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia bersama Puspen Kampung Selamat di Tasek Gelugor semalam.

Ruslin berkata program julung-julung kali bersama kelab motosikal itu merupakan antara contoh terbaik dalam membuka ruang kepada klien Puspen berinteraksi dengan individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional seperti doktor, peguam dan ahli korporat.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh (duduk tengah) dan Pengasas Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia Datuk Mohamad Efendi Omar (duduk dua dari kiri) bergambar beramai-ramai ketika menghadiri Program Ramah Mesra dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia bersama Puspen Kampung Selamat di Tasek Gelugor semalam.
Turut sama Pengarah AADK Pulau Pinang Roswati Apin.(FB AADK)

Sementara itu, pengasas Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia Datuk Mohamad Efendi Omar berkata program berkenaan bukan sekadar berkongsi hobi, tetapi juga membuka ruang kepada ahli kelab untuk menyumbang kepada masyarakat secara lebih luas.

Beliau berkata inisiatif itu turut membuktikan peranan NGO dalam membentuk sistem sokongan lebih tersusun agar bekas klien Puspen dapat memulakan kehidupan baharu dengan lebih baik.

“Kerjasama dengan AADK ini akan berterusan dan kami juga akan menyusun strategi terbaik untuk memastikan bahawa program ini bukan sekadar motivasi sahaja, tetapi melihat bagaimana untuk membuka peluang pekerjaan supaya apabila mereka keluar nanti, mereka dapat tempat yang lebih baik,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img