Langkah kerajaan pastikan bekalan makanan kekal stabil ketika krisis bekalan global

Di Pasar Chow Kit, Mak Cik Rohani membeli barangan dapur seperti biasa, manakala di gerai nasi lemak berhampiran, Abang Zul terus menjalankan perniagaannya sambil mengikuti perkembangan harga bahan mentah di pasaran. Buat masa ini, harga barangan keperluan masih terkawal, namun ramai pengguna dan peniaga sentiasa memantau keadaan berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

Keadaan ini bukan berpunca daripada faktor tempatan semata-mata. Dunia kini sedang berdepan krisis bekalan global yang dipengaruhi oleh konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan, perubahan iklim dan turun naik harga komoditi. Faktor-faktor ini berpotensi memberi tekanan kepada kos makanan dan kos sara hidup sekiranya berlarutan.

Lanjutan itulah, sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh daya tahan negara melalui peningkatan pengeluaran dan produktiviti tempatan, pengurangan kos pengeluaran di sepanjang rantaian bekalan, serta perlindungan kepada pengguna.

Pendekatan ini bertujuan memastikan bekalan makanan kekal stabil, harga barangan terus terkawal, dan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara walaupun berdepan cabaran global.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, krisis ini bermula dengan peningkatan kos tenaga di peringkat antarabangsa.

Katanya, apabila harga bahan api seperti diesel meningkat, ia akan mencetuskan kesan  domino.

‘“Kos menghasilkan baja, benih dan racun yang kebanyakannya diimport turut meningkat. Dalam masa yang sama, kos pengangkutan juga naik kerana lori yang membawa hasil pertanian bergantung kepada diesel,’’ katanya kepada UtusanMelayuPlus.

Beliau berkata, keadaan menjadi lebih mencabar apabila cuaca ekstrem mengurangkan hasil tanaman di banyak negara.

‘’Pada masa yang sama, beberapa negara pengeluar makanan mengambil langkah mengehadkan eksport bagi menjamin bekalan domestik mereka. Gangguan rantaian bekalan ini menyebabkan kos pengeluaran terus meningkat,’’ katanya.

Dr Aimi Zulhasmi berkata, walaupun sayur ditanam di Cameron Highlands atau padi diusahakan di Kedah, kos pengeluaran tetap dipengaruhi oleh harga minyak, tenaga dan input pertanian di pasaran dunia.

Tambahan pula, kata beliau, kira-kira 30 peratus bekalan makanan Malaysia masih diimport.

‘’Sebarang gangguan di luar negara akhirnya akan memberi kesan kepada harga makanan di pasar tempatan,’’ katanya.

Menyedari cabaran ini, kata beliau, kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Langkah pertama ialah meningkatkan pengeluaran makanan tempatan melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Negara yang merangkumi 96 inisiatif strategik,’’ katanya.

Berikutan, pelbagai program dilaksanakan oleh kerajaan bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan, memperluaskan penggunaan teknologi moden dan menggalakkan pelaburan dalam industri makanan negara.

Bagi menjamin bekalan makanan dalam jangka panjang, kerajaan turut merangka Rang Undang-undang Keterjaminan Makanan Negara di samping mengkaji keperluan mewujudkan stok penimbal bagi baja dan input pertanian. Langkah ini bertujuan memastikan negara lebih bersedia menghadapi sebarang gangguan bekalan pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, usaha mengurangkan kebergantungan kepada import terus diperkasakan melalui pemodenan sektor pertanian, penggunaan teknologi pintar, mekanisasi dan pembangunan sistem pertanian bersepadu. Matlamat akhirnya ialah meningkatkan keupayaan negara menghasilkan lebih banyak makanan secara domestik supaya Malaysia menjadi lebih berdaya tahan terhadap kejutan ekonomi global.

Selain memperkukuh pengeluaran makanan, kerajaan juga meneruskan pelbagai bentuk bantuan bagi mengurangkan tekanan kos kepada petani dan pengguna. Program BUDI Agri-Komoditi diteruskan dengan bantuan sehingga RM400 sebulan kepada penerima yang layak. Insentif Pengeluaran Padi (IPKP) kepada pesawah dinaikkan kepada RM300 sehektar, manakala subsidi baja, benih dan racun diteruskan bagi mengurangkan kos pengeluaran.

Dalam sektor tenaga, kerajaan turut menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dalam sektor pertanian. Langkah ini diharap dapat mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil sekali gus membantu mengawal kos operasi ladang dan mengurangkan tekanan terhadap harga makanan.

Walaupun pelbagai dasar dan bantuan disediakan, usaha menghadapi Krisis Bekalan Global bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Rakyat juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tahan negara.

Pertama, masyarakat perlu memahami bahawa kenaikan harga makanan hari ini bukan sekadar fenomena sementara, sebaliknya berpunca daripada perubahan struktur ekonomi dunia yang mungkin berlarutan.

Kedua, pengguna perlu merancang perbelanjaan dengan lebih berhemat dan tidak bergantung kepada harapan bahawa harga akan kembali seperti dahulu. Ketiga, budaya berjimat cermat perlu diperkasakan melalui usaha mengurangkan pembaziran makanan, menjimatkan penggunaan elektrik dan bahan api serta mengutamakan penggunaan yang lebih cekap.

Pada masa sama, kerajaan melakukan pelbagai langkah bagi memastikan barangan keperluan harian mencukupi di pasaran bagi mengelakkan panik dan kenaikan harga yang mendadak antaranya melalui pemantauan bekalan dan harga.

Turut dilaksanakan ialah penetapan harga maksimum pada musim perayaan, subsidi barangan asas minyak masak paket (1kg), tepung gandum, dan bahan api (Petrol RON95 dan Diesel) untuk mengekalkan harga mampu milik.

Selain itu kerajaan melaksanakan penguatkuasaan terhadap pencatutan. Tindakan tegas diambil terhadap peniaga yang mengambil keuntungan secara berlebihan atau tidak munasabah.

Melalui langkah kerajaan itu dan dibantu oleh berjuta-juta rakyat membuat keputusan yang bijak setiap hari, kesannya bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran malah meningkatkan ketahanan ekonomi negara secara keseluruhan.

Hakikatnya, bekalan makanan negara ketika ini masih berada pada tahap yang mencukupi hasil pemantauan dan pengurusan aktif kerajaan. Namun, cabaran global seperti konflik geopolitik, perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan turun naik harga tenaga dijangka akan terus menjadi sebahagian daripada landskap ekonomi dunia.

Justeru, keterjaminan makanan perlu dilihat sebagai agenda nasional yang memerlukan kerjasama semua pihak. Kerajaan perlu terus memperkukuh dasar dan pelaburan, industri perlu meningkatkan kecekapan pengeluaran, manakala rakyat perlu mengamalkan penggunaan yang lebih berhemah.

Dengan pendekatan yang menyeluruh, Malaysia bukan sahaja mampu mengurangkan kesan krisis bekalan global, malah membina sistem makanan yang lebih kukuh, mampan dan berdaya tahan.

Sesungguhnya, krisis bekalan global mengingatkan kita bahawa keterjaminan makanan bukan lagi sekadar isu pertanian, tetapi sebahagian daripada keselamatan ekonomi negara.

Keupayaan Malaysia menghadapi cabaran ini bergantung kepada usaha berterusan kerajaan, kerjasama industri dan sokongan rakyat dalam membina sistem makanan yang lebih mampan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi ketidaktentuan masa hadapan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here