Pekerja kilang mengaku salah ‘sentuh’ wanita dalam stor

SEORANG pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Machang, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita dengan niat mencabul kehormatannya, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Zamri Abdullah, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berstatus duda didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan bermaksud untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam stor sebuah kilang pengedaran makanan dan minuman di Jalan Stapunal Batu Jong, dekat Kuala Krai, kira-kira jam 1.40 tengah hari pada 3 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd Amran, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliana Othman.

Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh hukuman.

Bagaimanapun, Norfaraliana dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang tidak membebankan dengan alasan ikat jamin bukan bersifat hukuman, sebaliknya bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Tertuduh bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,700 sebulan selain perlu menyara ibu bapa yang sudah uzur dan seorang anak berusia setahun enam bulan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh atau ejennya dilarang menghampiri, menghubungi atau mengganggu mangsa serta mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut memerintahkan ikat jamin dinaikkan atau dilucutkan sekiranya tertuduh gagal mematuhi syarat berkenaan.

Mahkamah menetapkan 11 Ogos ini untuk prosiding jatuh hukum.

Tertuduh bagaimanapun tidak membayar wang jaminan tersebut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here