Krisis BN-PN di Melaka bukti bukan sekadar kerjasama tetapi mahu memperluaskan pengaruh – Penganalisis

KERJASAMA Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini berdepan cabaran apabila rundingan pembahagian kerusi masih memperlihatkan perbezaan tuntutan antara kedua-dua gabungan itu.

BN kekal dengan pendirian untuk bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN, khususnya Pas mahu menambah peruntukan daripada tujuh kepada sembilan kerusi. Tuntutan itu meletakkan BN dalam keadaan sukar kerana sebarang kompromi memerlukan pengorbanan dari segi agihan kerusi, sementara penolakan pula berisiko menjejaskan kesepakatan politik yang sedang diusahakan.

Perbezaan pendirian itu menimbulkan persoalan sama ada BN dan PN benar-benar mampu membentuk kerjasama yang kukuh atau rundingan berkenaan bakal dibayangi persaingan untuk mendapatkan kelebihan politik.

Dalam keadaan kedua-dua gabungan perlu memaksimumkan peluang kemenangan, pembahagian kerusi seharusnya berasaskan kekuatan calon dan potensi menang, bukan semata-mata memenuhi tuntutan parti.

Berikut adalah kenyataan Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis:

“Tuntutan PN untuk menambah peruntukan kerusi daripada tujuh kepada sembilan memperlihatkan rundingan dengan BN bukan sekadar soal kerjasama, tetapi turut membabitkan usaha memperluas pengaruh dan kedudukan politik dalam gabungan.

“Secara tersurat, PN mahu memperoleh dua kerusi tambahan bagi meningkatkan peluang kemenangan. Namun, secara tersirat, tuntutan ini menunjukkan bahawa PN mahu memastikan kerjasama tersebut memberikan pulangan politik yang lebih seimbang, dan bukannya sekadar mengukuhkan kedudukan BN sebagai parti dominan,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

MUJIBU Abd Muis

Menurutnya, BN perlu mempertimbangkan implikasi menerima atau menolak tuntutan itu kerana kedua-dua pilihan berisiko mempengaruhi kesepakatan antara gabungan berkenaan.

“Bagi BN, menerima tuntutan itu bermakna perlu berkompromi dalam pengagihan kerusi, sedangkan penolakan pula berisiko menjejaskan kesepakatan dan membuka ruang kepada pertembungan calon,” katanya lagi.

Mujibu berkata, keberkesanan kerjasama itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada setiap parti, sebaliknya perlu mengambil kira kekuatan calon dan potensi kemenangan di kawasan yang ditandingi.

“Persoalannya, adakah dua kerusi tambahan itu benar-benar mampu meningkatkan peluang kemenangan gabungan, atau sekadar memenuhi tuntutan politik PN?.

“Pada pandangan saya, manfaat kerjasama ini bergantung pada kekuatan calon dan potensi kemenangan setiap kawasan, bukannya jumlah kerusi yang diberikan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, PN berpotensi mendapat manfaat dari segi peluasan pengaruh dan pembinaan kekuatan parti, manakala BN pula boleh meraih keuntungan lebih besar sekiranya kerjasama itu berjaya mengelakkan perpecahan undi dan mengekalkan penguasaan kerusi.

Justeru, katanya, formula tujuh kerusi yang sedia ada tidak semestinya perlu diubah sekiranya penilaian strategik menunjukkan pembahagian itu lebih menguntungkan gabungan berkenaan.

“Pada masa yang sama, ruang rundingan boleh digunakan untuk menilai semula kerusi tertentu berdasarkan kekuatan calon, sokongan akar umbi dan kebarangkalian menang,” katanya.

Mengulas kemungkinan memberikan representasi kepada PN melalui pelantikan ADUN lantikan, Mujibu berkata, pilihan itu boleh dipertimbangkan sekiranya BN-PN berjaya membentuk kerajaan, tertakluk pada peruntukan undang-undang dan proses pelantikan yang berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan mekanisme itu tidak boleh dianggap sebagai pengganti automatik kepada kerusi pilihan raya kerana mandat yang diberikan rakyat mempunyai nilai politik tersendiri.

“Pada saya, BN dan PN perlu melihat rundingan ini sebagai usaha memaksimumkan kemenangan bersama, bukannya persaingan menentukan siapa memperoleh lebih banyak kerusi.

“Jika tambahan dua kerusi mampu meningkatkan peluang kemenangan tanpa melemahkan BN, kompromi itu wajar dipertimbangkan. Jika sebaliknya, formula tujuh kerusi mungkin lebih rasional dari sudut strategi pilihan raya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here