SEORANG berusia 38 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau cedera selepas ditembak di luar deretan rumah kedai di Jalan Perniagaan Seri Tambun, Batu Kawam hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dilaporkan baru selesai bersenam di sebuah gimnasium sebelum singgah di sebuah kedai serbaneka dalam bangunan sama untuk membeli telur.
Ketika hendak memasuki keretanya, mangsa didatangi seorang lelaki bertopeng yang memakai jaket hitam sebelum dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.
Mangsa kemudian melarikan diri ke sebuah kedai makan berhampiran bagi menyelamatkan diri, namun suspek dipercayai mengejarnya sebelum melepaskan beberapa lagi das tembakan.
Salah satu peluru dipercayai mengenai tangan kanan mangsa.
Suspek dilaporkan melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu.






