Polis Johor tumpas tiga sindiket edar dadah, rampasan RM4.36 juta

Polis Johor berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah selepas menahan 10 individu termasuk warga asing dalam tiga operasi berasingan di daerah ini dan Batu Pahat sepanjang empat hari bermula 11 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama JSJN daerah itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM4.36 juta.

Menurutnya, polis turut menyita pelbagai aset dipercayai hasil kegiatan sindiket berjumlah RM498,287.10.

Katanya, semua suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga Singapura, tiga wanita Vietnam dan seorang wanita Thailand berusia antara 24 hingga 54 tahun.

“Dalam operasi pertama di Johor Bahru Selatan, polis menahan tujuh individu termasuk warga asing yang dipercayai berperanan sebagai pembekal, pengedar dan pembantu sindiket.

“Pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi, MDMA dan ketamin dirampas dengan nilai mencecah RM1.47 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Menurut beliau, operasi kedua di Batu Pahat pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga stor dadah dengan rampasan bernilai RM1.15 juta.

Katanya, operasi ketiga di Johor Bahru pula menyaksikan penahanan pasangan suami isteri yang dipercayai aktif mengedar dadah, dengan nilai rampasan RM1.73 juta.

Chuan Huat berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga sindiket menggunakan kondominium berpagar serta rumah teres sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Secara keseluruhan, polis merampas 41.62 kilogram dan 9.12 liter pelbagai jenis dadah termasuk MDMA, ekstasi dan ketamin.

“Selain itu, polis turut menyita lima kenderaan, wang tunai, emas dan barang kemas,” katanya.

Tambah beliau, saringan awal mendapati beberapa suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Katanya, semua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh berdepan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan.

“Polis Johor akan terus mempergiat operasi membanteras sindiket dadah yang menjadi ancaman utama kepada negara,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img