Buang puntung rokok di tempat awam: Lelaki Indonesia didenda RM300

SEORANG lelaki warga Indonesia menjadi individu pertama di Kedah yang didenda dan diperintah menjalani khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini kerana membuang sampah di tempat awam.

Tertuduh, Jufri Zulkifli, 39, mengaku bersalah di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini atas pertuduhan membuang puntung rokok ke longkang, bukannya dalam bekas diperuntukkan di sekitar Menara Alor Setar kira-kira jam 12.10 tengah malam, 1 Januari lalu, lapor Harian Metro.

Dia didakwa mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 dan boleh diperintah menjalani khidmat masyarakat maksimum 12 jam.

Pegawai Pendakwa dari SWCorp, Nur Idayu Syazwani Mohd Arif meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya tidak membuang sampah merata-rata.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta hukuman lebih ringan kerana hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan gaji RM80 sehari dan perlu menanggung tiga anak.

Mahkamah menjatuhkan denda RM300 dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, serta khidmat masyarakat enam jam dengan kadar maksimum satu jam sehari dalam tempoh dua bulan.

Tertuduh membayar denda itu dan akan menjalani perintah khidmat masyarakat dalam masa terdekat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img