SEORANG remaja lelaki dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Melaka selama tiga tahun selepas mengaku bersalah mencederakan ibu angkatnya serta melakukan khianat di rumah wanita berkenaan, April lalu.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh berusia 18 tahun serta laporan akhlak yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebaik keputusan mahkamah dibacakan, remaja terbabit merintih kerana tidak sempat memohon maaf kepada ibu angkatnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap wanita berusia 66 tahun itu dengan menumbuk bahu serta menolak badan mangsa hingga terjatuh.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pintu, sofa, cermin dinding, kerusi makan dan pasu bunga milik ibu angkatnya sehingga menyebabkan kerugian RM5,400.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi, 23 April lalu.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku selepas tertuduh meminta wang daripada ibu angkatnya sebelum ditegur supaya tidak lagi berhutang.
Tidak berpuas hati dengan teguran itu, tertuduh kemudian menumbuk dan menolak mangsa sebelum membaling serta menendang barangan di dalam rumah.
Dia turut membaling pengecas telefon ke arah cermin dinding sehingga pecah.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan disahkan mengalami kecederaan pada bahu serta belakang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).






