SEBUAH kilang papan lapis di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Sungai Petani, dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) selepas didapati beroperasi tanpa sistem kawalan pencemaran udara.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil susulan aduan orang awam berhubung pencemaran udara yang menjejaskan penduduk sekitar kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemantauan pada waktu malam serta siasatan dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti punca pencemaran itu.
“Hasil pemantauan dan siasatan mendapati pencemaran udara itu berpunca daripada kilang terbabit yang menjalankan aktiviti penghasilan papan lapis di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau.
“Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah dandang (boiler) yang digunakan dalam proses pengeluaran premis berkenaan beroperasi tanpa dilengkapi sebarang sistem kawalan pencemaran udara, sekali gus berpotensi menyebabkan pelepasan asap dan bahan pencemar ke atmosfera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, JAS Kedah mengambil tindakan POK ke atas dandang berkenaan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku.
Sharifah Zakiah berkata, tindakan berkenaan adalah antara langkah penguatkuasaan yang digunakan JAS bagi menghentikan operasi kelengkapan yang menjadi punca pencemaran sehingga tindakan pembetulan dilaksanakan.
“Premis terbabit turut diarahkan menghentikan operasi dandang itu serta-merta dan mengambil langkah pembaikan termasuk memasang sistem kawalan pencemaran udara yang bersesuaian sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi dipertimbangkan JAS.
“JAS Kedah menegaskan bahawa pihak industri bertanggungjawab memastikan setiap kelengkapan yang digunakan dalam proses pengeluaran mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan di bawahnya bagi mengelakkan pencemaran yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan alam sekitar,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai melaporkan sebarang kejadian pencemaran alam sekitar melalui saluran aduan rasmi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 dan portal e-Aduan JAS bagi membolehkan tindakan siasatan serta penguatkuasaan diambil segera.






