PENGARAH Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad dibebaskan daripada tahanan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Sehubungan itu, kumpulan perkhidmatan minyak dan gas luar pesisir itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan, Azmi akan menggalas semula semua peranan eksekutif serta tanggungjawab kepimpinannya dalam syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.
“Pihak Lembaga Pengarah juga menegaskan aspek operasi perniagaan harian, kedudukan kewangan dan tadbir urus strategik kumpulan secara keseluruhannya kekal stabil dan tidak terjejas,” menurut kumpulan itu.
Pada 17 Ogos lalu, media melaporkan, SPRM menahan reman Azmi bagi membantu siasatan.
Kumpulan Alam Maritim turut memaklumkan bahawa penahanan reman ke atas Azmi adalah bagi membantu siasatan SPRM dan tidak bermakna wujud sebarang dapatan bagi salah laku.





