KERJASAMA antara City University Malaysia, Rapid KL, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan All Women’s Action Society (AWAM) diperkukuh menerusi program komuniti bertemakan Peka, Peduli dan Bertindak di Stesen Dato’ Keramat, Kuala Lumpur hari ini.
Dekan Fakulti Industri Kreatif City University Malaysia, Prof Madya Dr Nadia Nasir, berkata program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan tingkah laku positif, sikap prihatin dan tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran pengangkutan awam yang lebih selamat, selesa dan inklusif.
Menurutnya, program itu merupakan kerjasama kedua universiti berkenaan dengan Rapid KL dan Prasarana selepas kejayaan penganjuran inisiatif kreatif menghasilkan pengumuman khidmat masyarakat (PSA) berbentuk pantun sebelum ini.

Beliau berkata, pantun yang ditulis dan disampaikan sendiri oleh pelajar City University itu membawa mesej mengenai amalan kesopanan ketika menggunakan pengangkutan awam dan disiarkan di stesen sepanjang Laluan Kelana Jaya serta Laluan Ampang.
“Kerjasama terbaharu itu membuktikan kreativiti dan komunikasi mampu menjadi medium berkesan untuk menyampaikan mesej positif serta menggalakkan perubahan tingkah laku masyarakat.
“Antara pengisian utama program hari ini ialah aktiviti melukis mural secara langsung oleh pelajar dan pensyarah City University Malaysia yang mencerminkan kreativiti Fakulti Industri Kreatif dalam menyampaikan mesej sosial menerusi seni,” katanya ketika berucap di program berkenaan.
Selain itu, kata Dr.Nadia pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan untuk pengunjung termasuk permainan Spot the Red Flag, Jigsaw Puzzle dan Snake and Ladders.
Beliau berkata, ketiga-tiga permainan itu dirangka bagi menggalakkan kesedaran, penyertaan, kerjasama dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan pengunjung pelbagai peringkat umur.
Katanya, pendekatan berkenaan memberi peluang kepada masyarakat memahami mesej kempen menerusi aktiviti kreatif dan santai, sekali gus menjadikan penyampaian maklumat lebih dekat dengan kehidupan seharian.
Menurutnya, institusi pendidikan juga perlu memainkan peranan lebih luas dengan menyediakan ruang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu di luar bilik kuliah serta terlibat secara langsung dalam menangani isu masyarakat.
“Pengangkutan awam merupakan ruang bersama yang digunakan oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang, peringkat umur dan kehidupan.
“Justeru, amalan mudah seperti bersopan santun, peka terhadap keadaan sekeliling dan mengambil berat antara satu sama lain mampu memberi kesan besar dalam mewujudkan persekitaran perjalanan yang lebih selamat dan selesa,” katanya
Beliau turut mengiktiraf peranan AWAM dalam membawa perspektif sosial yang penting menerusi kerjasama berkenaan, selain menyifatkan penglibatan sektor industri, institusi pendidikan dan organisasi masyarakat sebagai pendekatan yang mampu memperluas impak program.
Katanya, kesedaran merupakan langkah pertama, keprihatinan mencerminkan nilai kemanusiaan, manakala tindakan sebenar menjadi penentu kepada perubahan positif dalam masyarakat.





