DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri memulakan budaya memeterai Perjanjian Persefahaman Keyakinan dan Perbekalan (CSA) ketika berada dalam Kabinet pada 2021, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, justeru, kenyataan Timbalan Presiden Pas itu yang menyifatkan CSA sebagai budaya politik baharu tidak wajar dibangkitkan kerana perjanjian seumpama itu sudah dilaksanakan sejak beliau menjadi anggota Kabinet.
“CSA yang pertama ditandatangani pada 2021 ketika beliau berada dalam Kabinet. Jadi, budaya ini bermula ketika beliau dalam Kabinet. Apa yang beliau perkatakan itu?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Internet Selamat anjuran Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) Melaka di Ayer Keroh hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pemeteraian CSA bukan satu kesalahan di sisi undang-undang, sebaliknya bertujuan membina persefahaman dan mewujudkan kestabilan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada keutamaan rakyat serta reformasi institusi.
“Ini bukan perkara yang melanggar undang-undang. Ia membina persefahaman dan bagi saya, mewujudkan satu keadaan yang stabil, memberi fokus kepada keutamaan rakyat serta reformasi institusi.
“Kalau benda yang baik boleh dihasilkan, kenapa perlu dibantah?,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pintu untuk mana-mana pihak menandatangani CSA masih terbuka dan kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak yang berminat untuk berbuat demikian.
“Kecuali beliau ada rakan-rakan yang ingin menandatangani, kita terbuka dan kita tidak menghalang. Sesiapa yang belum menandatangani boleh berbuat demikian.
“Pintu untuk menandatangani CSA ini masih terbuka, tetap terbuka,” katanya.





