SEORANG lelaki dipercayai tekong darat dan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis berhampiran Jalan Bukit Cermin, Kampung Sungai Rual di Kota Bharu, hari ini.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion Ketujuh mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna merah dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Timur-Barat.
Beliau berkata menyedari diekori pasukan PGA, pemandu kereta warga tempatan berusia 21 tahun itu bertindak memecut laju kenderaan itu selepas sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu menjunam ke cerun jalan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sembilan individu, termasuk pemandu warga tempatan dan lapan lelaki warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Enam lelaki warga Bangladesh mengalami cedera ringan, manakala tekong dan dua lagi lelaki warga Bangladesh didapati cedera parah. Kesemua mereka dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut,” katanya lapor Bernama.
Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu, polis menjumpai 10 biji pil yang dipercayai dadah jenis Yaba dan menyita kereta Proton Saga berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) atau Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana menyeludup atau membawa masuk pendatang asing tanpa izin.
“Warga asing yang ditahan pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya.


