HANYA disebabkan dihalang keluar bersama teman lelaknya, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun sanggup bertindak mengelar leher dan kedua-dua lengannya menggunakan pisau di rumahnya di Jonker Walk, Melaka, Ahad lalu.
Mangsa dipercayai melakukan perbuatan berkenaan kira-kira jam 10.33 malamketika berada di bawah pengaruh rokok elektronik jenis ‘mushroom’
Dalam kejadian kira-kira jam 10.33 malam, mangsa yang tidak bersekolah itu dipercayai bertindak di luar kawalan kerana berada di bawah pengaruh rokok elektronik jenis ‘mushroom’.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.15 tengah malam.
Katanya dalam satu kenyataan, siasatan awal mendapati mangsa yang tidak lagi bersekolah berada dalam keadaan tekanan selepas ibu angkatnya menghalang dia keluar bersama teman lelaki berusia 17 tahun.
“Berang dengan tindakan itu, mangsa dipercayai mencederakan diri sendiri dengan mengelar kedua-dua belah lengan dan leher menggunakan sebilah pisau.
“Ibu angkat mangsa turut mendakwa remaja itu berada di bawah pengaruh vape jenis ‘mushroom’ sehingga bertindak di luar kawalan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan awal di Zon Kuning Unit Kecemasan sebelum dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar wad pada Selasa.
Katanyam siasatan turut mendapati teman lelaki mangsa dipercayai individu yang memekalkan vape berkenaan kepada remaja itu.
“Ibu angkat mangsa telah merampas rokok elektronik itu bagi melarang mangsa menghisapnya. Mangsa dipercayai mula terjebak dengan tabiat itu sejak Februari lalu selepas diperkenalkan oleh teman lelakinya,” katanya.
Ujarnya, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan, namun polis membuka siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa.
Dzulkhairi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan keterangan penuh serta mengenal pasti punca sebenar kejadian.


