HOSPITAL awam tertekan sehingga ke tahap maksimum berpunca kekurangan pelaburan jangka panjang dalam tenaga kerja, bukannya lambakan pesakit warga asing, dakwa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presiden Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, isu lebih mendalam adalah kegagalan sistemik ekoran hospital awam kini beroperasi pada kapasiti penuh dengan kekurangan hampir 11,000 pakar perubatan serta kadar kekosongan jururawat sekitar 18%.
Katanya, doktor kerap membangkitkan isu kelemahan sistem tempat kerja yang berdepan masalah kesesakan, kekurangan tenaga, dan keletihan dalam mengendalikan pesakit.
“Sebarang beban tambahan pasti terasa dalam keadaan yang begitu tertekan. Tetapi puncanya ialah kekurangan pelaburan dalam tenaga kerja sejak bertahun-tahun dan bukan disebabkan mana-mana golongan pesakit.
“Jika bilangan pesakit warga asing di hospital awam semakin meningkat, persoalan yang lebih jujur ialah mengapa kes bukan kecemasan tidak diarahkan ke fasiliti swasta?” katanya lapor FMT
Beliau mengulas hantaran di platform media sosial Threads baru-baru ini, yang mendakwa lambakan warga asing di fasiliti kerajaan menjejaskan kualiti perkhidmatan dan kebajikan doktor tempatan.
Dalam hantaran itu, pengguna @Fadli Sabri mendakwa kebanyakan kes diterimanya sepanjang bertugas 24 jam kebanyakannya melibatkan warga asing, dengan hanya seorang atau dua pesakit rakyat Malaysia, manakala selebihnya terdiri ‘warga R’.
Dalam pada itu, Thirunavukarasu menggesa kerajaan mencapai keseimbangan segera berdasarkan tiga prinsip utama iaitu mendahului nyawa dalam sebarang kecemasan, memulihkan kos rawatan dengan betul, serta melindungi hak doktor dan pesakit tempatan.
Beliau berpendapat, Kementerian Kesihatan (KKM) sepatutnya menyalurkan kes bukan kecemasan melibatkan warga asing ke sektor swasta bagi memastikan kapasiti awam yang disubsidi dapat dikhususkan untuk rakyat Malaysia.
Katanya, namun langkah Kementerian Kewangan mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 6% ke atas penjagaan swasta untuk bukan warganegara berlawanan matlamat asal.
“Ia mendorong pesakit asing kembali membanjiri sistem hospital awam. Ini satu percanggahan yang wajar diteliti semula,” katanya.
Beliau berkata, aspek kemanusiaan untuk pesakit, keadilan bagi pembayar cukai, serta kelegaan untuk golongan doktor tidak seharusnya bercanggah antara satu sama lain.
“Semuanya dapat dicapai serentak dengan membetulkan sistem pembiayaan sedia ada, bukannya dengan menolak mana-mana pihak,” katanya.






