LIMA termasuk tiga wanita yang terlibat kegiatan curi kabel yang tular sebelum ini dijatuhi hukuman denda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.
Tiga daripada tertuduh, Nurul Aleeya Aneesya Abd Razak, 23; Nur Allysa Natasha Nor Azlan, 22, dan Nur Shasha Nabila Zamani, 28, didenda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Manakala dua lagi tertuduh, Mohammed Arif Sharif, 25, dan Mohamad Ridzwan Zainol Abidin, 26, pula didenda RM250 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Berdasarkan pertuduhan, tiga wanita itu didakwa mencuri kabel daripada milikan Telekom Malaysia (TM) di Seksyen 3, kira-kira jam 5 pagi pada 20 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Sementara, Mohammed Arif dan Mohamad Ridzwan dituduh bersama-sama telah memiliki alat-alat kegiatan mencuri tanpa alasan munasabah bagaimana mereka memperolehinya di Seksyen 7 Shah Alam, kira-kira jam 12.08 tengah malam, kelmarin.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM250 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 28 (i) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Di mahkamah berasingan, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin dan tarikh jatuh hukum pada 28 April kepada Mohammed Arif dan Mohamad Ridzwan.
Ia susulan pengakuan bersalah kedua-duanya atas pertuduhan bersama-sama dengan niat mencuri soket dan kabel di dalam rumah peti milik TM kira-kira jam 12.08 tengah malam, kelmarin. Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Majistret Ameera Mastura Khamis turut menetapkan 4 Mei depan dan membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada L Kelemen, 40, dan N Tharumaraaj, 44 yang mengaku bersalah menghapuskan harta curi iaitu kabel TM, di Kampung Kepayang, Ipoh, Perak pada jam 3 petang 26 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari, Muaz Khawarizmi Azfar dan Nurul Akhilah Rosmi.
Manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, M Partiben selain Amirah Nashaida daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Media semalam melaporkan, sembilan individu termasuk tiga wanita tempatan ditahan dipercayai terbabit dalam kes curi kabel yang tular baru-baru ini.
Tangkapan suspek berkenaan dilakukan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor; Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam; Task Force Balai Polis Seksyen 6 serta JSJ IPD Kuala Muda, Kedah menerusi operasi khas, Op Kabel Viral pada 23 dan 26 Februari lalu.


