Jenazah Ahmad Shah maut ditikam di Korea Selatan akan dibawa pulang ke tanah air

JENAZAH rakyat Malaysia yang maut selepas dipercayai ditikam dalam pergaduhan berkumpulan membabitkan warga asing di Korea Selatan akan dibawa pulang ke tanah air.

Ketika ini, proses melengkapkan dokumentasi bagi urusan membawa pulang jenazah Ahmad Shah, 26, sedang dilakukan oleh keluarganya di Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Adik mangsa, Ain Sephia, 25, berkata, dia sudah dihubungi kakak iparnya yang memaklumkan jenazah abangnya selesai menjalani proses bedah siasat.

Katanya, beberapa urusan dokumentasi masih perlu diselesaikan bersama pejabat Kedutaan Malaysia di Korea Selatan sebelum jenazah dibenarkan dibawa pulang.

“Setakat ini kami sudah menghantar semua dokumen yang diperlukan. Selepas semua proses selesai, barulah jenazah akan diuruskan untuk dibawa pulang.

“Belum ada maklumat lanjut mengenai bila jenazah dijangka tiba kerana masih terdapat beberapa prosedur yang perlu diselesaikan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Keluarga Allahyarham dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.40 pagi selepas isteri mangsa, Nurcahaya Ruslan menghubungi mereka.

Media Korea Selatan, JoongAng Daily semalam melaporkan, susulan kejadian berkenaan, Balai Polis Eumseong menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

Suspek disyaki terbabit dalam kes bunuh serta beberapa kesalahan lain selepas dipercayai menikam mangsa yang berusia 20-an menggunakan sebilah pisau.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 pagi di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong.

Siasatan awal mendapati dua kumpulan yang masing-masing disertai suspek dan mangsa terbabit dalam pergaduhan besar di lokasi kejadian.

Difahamkan, kira-kira 10 individu dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu sebelum suspek didakwa mengeluarkan sebilah pisau dan menyerang mangsa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img