TERUNG asam, yang sinonim dengan masyarakat di Sarawak, mempunyai potensi lebih besar daripada sekadar hasil pertanian tempatan apabila dimanfaatkan menerusi penyelidikan saintifik.
Melalui teknologi yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), terung asam berjaya dibawa ke peringkat pengkomersialan menerusi produk Terungold, sekali gus memperlihatkan bagaimana kepakaran penyelidik dan keberanian usahawan mampu mengubah potensi sumber tempatan menjadi peluang perniagaan.
Kisah Terungold bukan sekadar tentang penghasilan produk baharu, tetapi turut menggambarkan kepentingan hubungan antara penyelidikan dengan industri dalam memastikan inovasi tempatan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.
Di sebalik penghasilan produk itu ialah kerjasama antara penyelidik MARDI dengan Nusanutra Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang melihat peluang komersial pada tumbuhan tempatan yang masih belum begitu dikenali oleh sebahagian pengguna di Semenanjung Malaysia.

Bagi Pengarahnya, Ahmad Zahin Ilman, keputusan mengkomersialkan produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) MARDI berasaskan terung asam merupakan langkah strategik dalam merangka hala tuju baharu bagi mengembangkan perniagaan syarikat.
”Ketika kami mula mengguna pakai teknologi Terungold pada penghujung tahun 2021, perniagaan OEM kami berada dalam dilema dan Terungold merupakan ikhtiar terakhir syarikat. Kami mengambil risiko melaburkan baki simpanan syarikat ke dalam teknologi MARDI, dan Alhamdulillah, langkah ini berjaya menyelamatkan serta mengembangkan perniagaan kami,” katanya.
Pengalaman tersebut menggambarkan realiti yang sering dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Dalam landskap pasaran yang sengit, sesebuah syarikat bukan sekadar perlu menghasilkan produk yang menarik, malah dituntut menonjolkan keunikan, membina keyakinan pengguna, serta menawarkan nilai yang membezakan produk mereka berbanding pesaing. Bagi Nusanutra, peluang keemasan ini diraih menerusi teknologi penyelidikan yang dibangunkan oleh MARDI.
Mengangkat potensi terung asam menerusi penyelidikan
Terung asam, yang turut dikenali sebagai Terung Dayak di Sarawak, mempunyai ciri fizikal yang tersendiri dengan bentuk bulat dan warna kekuningan apabila matang. Namun, keunikan sesuatu hasil pertanian tidak semestinya menjamin penerimaan pasaran tanpa usaha penyelidikan, pembangunan produk dan pemasaran yang bersesuaian.
Menurut Ahmad Zahin, minat terhadap potensi tumbuhan ini mula berputik selepas beliau meneliti senarai inovasi berpotensi komersial sewaktu mengunjungi pameran MARDI pada penghujung tahun 2021.
“Saya nampak teknologi terung asam ini unik, benda ini rare, dan ada potensi kalau kita komersialkan sebab orang tak berapa kenal sangat,” katanya.
Selain keunikan bahan mentah, teknologi berkenaan turut menarik perhatian syarikat berikutan dapatan saintifik dari kajian MARDI yang mengetengahkan khasiat terung asam bagi pengurusan berat badan secara berkesan.

Kajian yang diterajui oleh Dr. Zuraida Ab Rahman bersama pasukannya di Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI berjaya mengenal pasti sebatian aktif dalam terung asam serta potensinya dalam membantu pengurusan berat badan.Hasil penyelidikan itu menjadi asas kepada pembangunan Terungold dalam bentuk cecair yang mudah diambil oleh pengguna.
Bagaimanapun, potensi sesuatu bahan dalam penyelidikan tidak seharusnya disamakan secara automatik dengan bukti keberkesanan klinikal pada manusia. Penilaian terhadap manfaat kesihatan sesuatu produk perlu mengambil kira jenis kajian, bukti saintifik yang tersedia dan keperluan pematuhan peraturan berkaitan.
Dalam konteks pengkomersialan, penyelidikan menyediakan asas saintifik untuk pembangunan produk, manakala pihak industri berperanan menterjemahkan pengetahuan tersebut kepada bentuk yang praktikal dan berpotensi memenuhi keperluan pasaran.
Daripada makmal kepada pengeluaran komersial
Bagi usahawan yang belum pernah bekerjasama dengan institusi penyelidikan, proses mendapatkan teknologi mungkin kelihatan rumit. Namun, pengalaman Nusanutra menunjukkan bahawa proses pengkomersialan boleh dimulakan melalui pendekatan yang tersusun.
Menurut Ahmad Zahin, langkah awal ialah mengemukakan Surat Hasrat (Letter of Intent atau LOI) kepada MARDI bagi menyatakan minat terhadap teknologi berkenaan.
Proses itu diikuti perjanjian kerahsiaan (Non-Disclosure Agreement atau NDA), yang membolehkan kedua-dua pihak membincangkan potensi teknologi secara lebih terperinci, termasuk kebolehlaksanaan komersial, bekalan bahan mentah, keupayaan pengeluaran dan strategi memasuki pasaran.
”Bagi saya, perjanjian kerahsiaan (NDA) ini amat kritikal dan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak kerana ia membolehkan perbincangan dijalankan secara telus, khususnya dari sudut kebolehlaksanaan komersial. Kami perlu menilai sama ada teknologi ini hanya sesuai pada skala makmal atau berdaya maju untuk diperluas ke skala pengilangan,” katanya.
Beliau berkata, proses penyediaan perjanjian pengkomersialan bagi projek tersebut mengambil masa kira-kira enam hingga lapan bulan.
Tempoh itu turut dimanfaatkan oleh syarikat untuk menyediakan reka bentuk pembungkusan, konsep produk, struktur harga dan strategi pemasaran sebelum pengeluaran dimulakan.
Pengalaman ini memperlihatkan bahawa pengkomersialan bukan sekadar urusan mendapatkan hak penggunaan sesuatu teknologi. Ia memerlukan perancangan menyeluruh bagi memastikan teknologi yang dibangunkan di makmal berpotensi disesuaikan dengan keperluan pengeluaran dan pasaran sebenar.
Sesuatu teknologi mungkin menunjukkan kejayaan pada skala makmal, namun pengeluaran secara komersial menuntut pertimbangan berbeza, ianya merangkumi keupayaan jentera, kapasiti pengeluaran, konsistensi bekalan bahan mentah, kos operasi, serta kawalan kualiti yang ketat.
Justeru, sinergi antara penyelidik dan usahawan wajar berpaksikan persefahaman bersama. Penyelidik menyumbang kepakaran saintifik, manakala pihak industri pula menilai kebolehlaksanaan pembuatan, penerimaan pengguna, serta daya maju pasaran.

Pemindahan teknologi memerlukan sokongan berterusan
Antara aspek penting dalam kejayaan pembangunan Terungold ialah sokongan teknikal yang diberikan MARDI selepas perjanjian pengkomersialan dimeterai.
Menurut Ahmad Zahin, syarikatnya menerima sokongan pemindahan teknologi selama sembilan bulan, termasuk bimbingan penyelidik untuk membantu menyesuaikan proses pengeluaran daripada skala makmal kepada skala pembuatan.
“MARDI tidak menjual teknologi kemudian meninggalkannya begitu sahaja. MARDI terus memberikan sokongan,” katanya.
Beliau berkongsi bahawa Dr. Zuraida beberapa kali turun ke kilang syarikat bagi memberikan tunjuk ajar mengenai proses pengeluaran. Bimbingan itu penting kerana kaedah yang digunakan di makmal tidak semestinya dapat diaplikasikan secara langsung menggunakan mesin dan peralatan di kilang.
Apabila timbul kekangan teknikal, penyelidik dan pihak industri perlu mencari kaedah yang bersesuaian supaya proses pengeluaran dapat dilaksanakan dengan baik tanpa mengabaikan spesifikasi serta kualiti produk.
Pendekatan sedemikian memperlihatkan bahawa pemindahan teknologi yang berkesan memerlukan hubungan kerja yang berterusan. Ia bukan sekadar pemindahan dokumen atau pengetahuan teknikal, tetapi turut melibatkan penyelesaian masalah dan penyesuaian berdasarkan keadaan sebenar industri.
Bagi MARDI, kerjasama ini membuka laluan untuk hasil penyelidikan dimanfaatkan oleh pihak yang mempunyai keupayaan membangunkan produk dan memasarkannya. Bagi usahawan pula, sokongan penyelidik membantu merapatkan jurang pengetahuan ketika teknologi dibawa ke peringkat pengeluaran.
Rantaian bekalan menjadi penentu kelangsungan produk
Perjalanan Terungold turut memperlihatkan bahawa inovasi tidak boleh bergantung pada formula produk semata-mata. Bekalan bahan mentah yang konsisten merupakan antara faktor penting dalam memastikan kelangsungan pengeluaran.
Terung asam banyak ditanam di Sarawak, sedangkan kemudahan pengeluaran Nusanutra terletak di Klang, Selangor. Penghantaran buah segar dalam kuantiti besar menimbulkan cabaran logistik kerana bahan tersebut mudah rosak.
Bagi mengatasi masalah itu, penyelidik MARDI mencadangkan supaya terung asam diproses menjadi serbuk di Sarawak terlebih dahulu sebelum dihantar ke Klang, Selangor untuk pemprosesan seterusnya.
Menurut Ahmad Zahin, syarikatnya bekerjasama dengan rakan tempatan dan membangunkan pusat pemprosesan di kawasan Tebedu dan Serian, Sarawak. Syarikat itu turut melaksanakan pembelian bahan mentah secara borong serta pertanian kontrak dengan petani tempatan bagi menyokong keperluan bekalan.
Pendekatan ini menunjukkan bagaimana pengkomersialan teknologi boleh melibatkan kerjasama merentas lokasi dan bidang kepakaran. Petani membekalkan hasil, rakan pemprosesan membantu menyediakan bahan mentah, penyelidik menyumbang kepakaran teknikal, manakala syarikat menguruskan pembangunan produk serta pemasaran.
Jika disusun dengan baik, rantaian nilai seperti ini berpotensi membuka peluang ekonomi kepada pelbagai pihak. Bagaimanapun, manfaat sebenar kepada petani dan komuniti setempat perlu dinilai berdasarkan data seperti jumlah pembelian, bilangan petani terlibat dan kesinambungan kontrak bekalan.
Penilaian sedemikian penting supaya kejayaan pengkomersialan tidak hanya diukur berdasarkan produk yang berada di pasaran, tetapi turut mengambil kira nilai ekonomi yang diwujudkan sepanjang rantaian bekalan.
Membuka peluang kepada lebih banyak usahawan
Bagi perusahaan kecil dan sederhana, membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara bersendirian boleh memerlukan pelaburan besar, kepakaran khusus dan kemudahan makmal yang tidak semestinya mampu disediakan oleh setiap syarikat.
Kerjasama dengan institusi penyelidikan seperti MARDI boleh menjadi salah satu pilihan untuk mengakses kepakaran dan teknologi sedia ada, tertakluk pada kesesuaian teknologi, syarat perjanjian dan kemampuan syarikat melaksanakan pengkomersialan.
Ahmad Zahin berpandangan bahawa usahawan tidak semestinya perlu membangunkan semua teknologi secara bersendirian. Sebaliknya, mereka boleh mengenal pasti hasil penyelidikan yang sesuai dengan keperluan perniagaan masing-masing.
Nasihat beliau kepada usahawan yang masih berkira-kira untuk mengambil langkah pertama cukup jelas.
“Go for it! Pasaran sekarang penuh dengan produk yang tiada pengesahan saintifik. Pengguna zaman sekarang semakin bijak dan mahukan produk yang mempunyai pengesahan saintifik serta selamat,” katanya.
Namun, peluang pengkomersialan perlu dinilai secara realistik. Usahawan perlu memahami hak penggunaan teknologi, kos pembangunan, kemampuan pengeluaran, pematuhan peraturan, potensi permintaan dan risiko pasaran sebelum membuat komitmen pelaburan.
Tidak semua teknologi yang berjaya di makmal akan menjadi produk komersial yang menguntungkan. Kejayaan bergantung pada kesesuaian teknologi dengan keperluan pasaran, keupayaan syarikat melaksanakan pengeluaran dan kesediaan pengguna menerima produk berkenaan.
Justeru, langkah terbaik bagi usahawan yang berminat adalah memulakan perbincangan dengan pusat pengkomersialan institusi penyelidikan, memahami syarat yang ditetapkan dan membina pelan perniagaan berdasarkan penilaian yang teliti.
*Artikel ini disediakan oleh Pusat Komunikasi Korporat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)





