AKTA Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dipinda pada Disember ini bagi menghapuskan peruntukan yang mengekang kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan, sebelum digantikan sepenuhnya dengan akta baharu yang dijangka dibangunkan tahun depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas meluluskan cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksanakan dua langkah berkenaan.
Beliau berkata, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan AUKU di Parlimen pada Disember ini.
“Jemaah Menteri bersetuju supaya Menteri Pendidikan Tinggi membentangkan rang undang-undang pindaan AUKU untuk dibawa ke Parlimen pada bulan Disember ini, khususnya bagi meminda peruntukan seksyen yang mengekang kebebasan mahasiswa,” katanya dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
AUKU yang diperkenalkan pada 1971 menjadi asas perundangan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti, termasuk mengawal selia beberapa aspek kegiatan mahasiswa. Akta itu pernah dipinda beberapa kali, antaranya pada 2012 bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam aktiviti politik di luar kampus.
Usaha menyemak semula AUKU turut berkait dengan tuntutan supaya kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa diberikan ruang lebih luas, selain keperluan memperbaharui kerangka pengurusan serta pentadbiran universiti.
Mengulas tempoh pelaksanaan akta baharu bagi menggantikan AUKU sepenuhnya, Fahmi berkata, proses itu memerlukan penelitian lanjut kerana KPT perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk pendaftaran, penyenaraian dan pengurusan universiti.
“Pada bulan Disember, Menteri Pendidikan Tinggi akan membawa pindaan kepada AUKU sedia ada untuk segera menghapuskan seksyen-seksyen yang mengekang kebebasan mahasiswa.
“Proses untuk membawa akta yang akan menggantikan sepenuhnya aspek-aspek terutama pendaftaran, penyenaraian, pengurusan universiti dan sebagainya itu akan mengambil sedikit masa kerana KPT perlu mengambil kira beberapa perkara baharu, termasuk cara menguruskan universiti.
“Kita jangkakan insya-Allah pada tahun 2027, tetapi belum dinyatakan dalam mesyuarat bila dalam tahun itu. Insya-Allah tahun depan,” katanya.





